Seni Sebagai Medium Tarbiyah


Pengenalan

Andai seni penggerak batin manusia, mampukah hal yang sama mencerna akal manusia agar dirangsang dan dijana? Demikian halnya, seni merupakan potensi besar yang dalam konteks hari ini, masih belum dicanai sepenuhnya agar dapat digunakan secara berkesan dalam menggerakkan ummah. Bahkan, dalam menyebutkan tentang seni sebagai medium penggerak batin manusia, Vygotsky (1971), ilmuan psikologi dari Rusia, menyebutkan tentang seni sebagai medium yang mampu mencetuskan respons psikologi yang mendalam.

Konsep seni menurut Islam

            Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam. Dalam sejarah Islam, kita dapat melihat akan hasil kesenian Islam yang terkandung di dalamnya nilai akhlak murni. Baik dari seni suara dalam bacaan Al-Quran dan alunan qasidah mahupun seni sastera yang menggunakan bahasa yang indah dan perasaan yang lembut. Kesenian Islam telah dipercayai telah berkembang sejak Zaman Nabi Daud A.S dan putranya Nabi Sulaiman dan terus berkembang di zaman Nabi Muhammad S.A.W dan di zaman setelah Beliau sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syara’.

            Namun begitu, tidak kesemua seni yang sedia ada dapat diterima oleh Islam. Para ulama terdahulu telah meletakkan garis panduan untuk dijadikan pengukur bagi menentukan halal atau haramnya sesuatu karya seni itu. Seni atau karya seni itu mestilah baik dan mempunyai ciri-cirinya yang khusus. Antara lain ialah tidak merosakkan budi pekerti yang mulia serta tidak melalaikan orang daripada beribadat dan mengingati Allah. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong kearah ketaqwaan, kema’rufan, kesahihan dan budi yang mantap.

Kesenian Islam di Nusantara

            Menyingkap kembali sejarah ketamadunan Islam di rantau ini, dapat kita lihat akan kesenian Islam menyerlah hingga ke hari ini. Seni tulisan jawi seperti contoh, masih lagi diperlihara di sebahagian kawasan di rantau Melayu yang berpunca dari kesusasteraan Arab dan mempunyai hubungkait rapat dengan kebudayaan Islam. Ini sesuai dengan matlamat kesenian Islam yang mengutamakan kegunaan untuk kehidupan seharian. Malah kesenian Islam tidak hanya menumpu pada manusia secara individu, tetapi ia mempunyai orientasi social dan berpaksikan kepada keperluan masyarakat.
            Masyarakat di rantau ini dapat menyaksikan bahawa seni itu dapat dijadikan sebagai alat menyebarkan agama dan memperkukuhkan amal kebajikan dan kebaikan dikalangan ummat. Hasil kesenian Islam boleh menjadi factor pendorong yang insentif bagi mengajak masyarakat dalam mengingati dan memuji Allah. Banyak contoh dapat dipelajari daripada kesenian Islam yang terdahulu di rantau ini seperti seni Gamelan dan Zapin melayu.

Gamelan sebagai Medium Tarbiyah

Tidak memeranjatkan, dalam usaha awal untuk memperkenalkan Islam ke rantau Nusantara, seni telah digunakan sebagai kenderaan bagi mendekati masyarakat. Dalam hal ini, Serat Centhini, sebuah kitab Jawa kuno menjelaskan bagaimana Sunan Kalijaga, dalam sebuah pertemuan antara kumpulan Wali Songo dan Sultan Demak sekitar abad ke-15 telah menyarankan agar masjid-masjid di Demak dilengkapkan dengan alat muzik gamelan di samping beduk yang sedia ada. Menurutnya, beduk yang sedia ada tidak mencukupi untuk menarik masyarakat Jawa pada masa tersebut untuk mendekati masjid.

Tidak menghairankan, saranannya mengundang murka daripada segenap wali-wali yang lain. Menjernihkan keadaan, beliau berhujah, “Sekiranya gamelan merupakan elemen yang tradisional dalam budaya kita, tidakkah dapat kita membaca  kalimah Allah s.w.t  dalam permainan gamelan sepertinya ucapan bismillah yang dibaca sebelum memakan daging?” Melanjutkan hujahnya, Sunan Kalijaga berpendapat bahawa masyarakat boleh membaca kalimah syahadah sebelum memasuki perkarangan masjid untuk mendengar alunan gamelan.

Secara fenomenal, lewat implementasi saranan tersebut, masyarakat Jawa mula mendekati masjid secara massal. Menariknya, setelah peristiwa tersebut, masyarakat Jawa antaranya mula menyebut kelakuan pergi ke masjid sebagai ‘melihat sahadatain’ ataupun melihat kalimah syahadah. Islam yang sebelumnya begitu jauh daripada masyarakat Jawa semakin didekati lewat penggunaan mekanisme kesenian.

Sama ada secara langsung mahupun tidak, gerakan Sunan Kalijaga sekali gus mengimbau kembali gagasan Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin yang antara lainnya menyebutkan bahawa “sesiapa yang tidak terkesan hatinya akan musim bunga, atau oleh alat muzik serta getaran nadanya, maka fitrahnya telah menghidapi penyakit yang sukar diubati”.

Zapin Melayu sebagai Medium Tarbiyah

Jelasnya, asalkan kesenian yang dimaksudkan itu tumbuh daripada nilai-nilai yang teguh keislaman dan keimanannya, perkara tersebut sekali gus akan menggerakkan kebaikan dalam naluri seseorang. Memandang pula dalam konteks yang lebih dekat dengan budaya Singapura, perihal tersebut malahan bukanlah sesuatu yang janggal mahupun asing.

Misalnya, dalam mengiringi lagu-lagu bernafas Zapin Melayu, pantun-pantun yang tersemat dengan nilai-nilai ajaran Islam telah digunakan. Memetik contoh serangkap pantun daripada lagu Anak Ayam Turun Sepuluh, pantun yang lazim mengiringi lagu-lagu zapin, “Anak Ayam turun sembilan / Mati satu tinggal delapan / Menghadap guru membaca Quran / Pakai bertudung malu dan sopan”. Menyelarikan sistem akidah Islam dengan seni yang ditonjolkan, umat Melayu-Islam secara tersirat telah didedahkan akan peri penting menjaga adab dalam berguru “supaya engkau masuk syurga / nama syurga Jannatul Makwa”.

Meneliti rujukan-rujukan yang baru disebutkan dengan lebih kritis, kedua-dua perkara jelasnya telah diatur secara strategik. Bahkan, dalam konteks strategi yang dilakarkan Sunan Kalijaga, masyarakat tempatan mula mendekati agama Islam di samping mengenali Allah s.w.t dan rasul-Nya dengan lebih proaktif. Demikian halnya, kedua-dua perkara yang disebutkan jelas sekali menggunakan budaya popular yang sedia ada untuk mendekati masyarakat.

Sedangkan Sunan Kalijaga menggunakan gamelan sebagai kenderaan utama, tidak beberapa lama kemudiannya, ilmuan-ilmuan Nusantara lainnya telah menggunakan pantun bagi melengkapi irama-irama Zapin bagi tujuan dakwah. Dalam erti kata lain, nilai-nilai mahupun syiar-syiar Islam telah mengimbuhkan kesenian sedia ada bagi merapatkan jurang antara budaya Islami dengan budaya tempatan. Hal tersebut ternyata penting agar masyarakat setempat tidak rasa terasing daripada agama Islam yang sebenarnya datang dengan rasa keamanan dan ketenteraman.

Seni sebagai Medium Tarbiyah

Melihat dalam kanta semasa, konteks hari ini mendesak para ilmuan agama, asatizah, mahupun para alim ulama’ untuk mencari langkah yang sesuai bagi masalah yang semakin meruncing, iaitu penularan virus liberalisme dalam kalangan masyarakat Nusantara. Jelas sekali, pengaruh Barat yang semakin sukar ditolak secara keseluruhannya bertindak selaku cabaran besar untuk golongan yang peka dan peduli.

Mengulas tentang hal tersebut, Ustaz TM Fouzy, dalam sebuah wawancara dengan penulis pada 21 Jun 2014, menyebutkan berkenaan usaha yang lebih kental harus dipergiatkan dalam mendekati masyarakat yang belum sedia mesra dengan Islam mahupun aktiviti-aktiviti di masjid. Menggunakan majlis-majlis maulid mahupun selawat sebagai pelantaran, beliau percaya bahawa kaedah tersebut berpotensi dalam mendekatkan budaya Islam dengan masyarakat am. Secara tidak langsung, warga majlis tersebut sekali gus ditarbiyahkan secara halus dan tersirat, namun berseni.

Jelasnya, lewat alunan selawat dan qasidah dalam bentuk irama yang mudah digarap hawa telinga mahupun roh masyarakat, majlis-majlis tersebut menyelarikan dentuman jiwa mereka dengan zikir-zikir munajat bagi memuji Allah s.w.t. Menjelaskan hujahnya, sedangkan Ustaz TM Fouzy akur bahawa berdakwah adalah satu tanggungjawab yang berpanjangan, beliau berlega hati melihat kesenangan masyarakat hari ini, khususnya golongan belia, dalam mendekati masjid.  

Penutup

Menggunakan seni sebagai penggerak dakwah, contoh-contoh di atas menggalakkan penglibatan langsung ummah dalam dakwah yang dikendalikan. Nescaya, seni yang baik adalah seni yang berupaya untuk mendapatkan tindak balas langsung daripada masyarakat di samping mengejutkan ummah daripada buaian hidup. Menyimpulkan mauduk, andai ungkapan Vygotsky dijadikan sandaran, kesemua contoh-contoh di atas jelas sekali merupakan contoh unggul dalam menegaskan keupayaan seni untuk dijadikan medium tarbiyah demi penyemarakkan usaha dakwah.

Menceduk pula daripada pengalaman Sunan Kalijaga dalam cabaran pendakwahannya yang mengundang murka dan kritikan wali-wali sezamannya, moleklah andai segenap ilmuan agama, asatizah, mahupun para alim ulama’ dapat berganding bahu dalam memuliakan keindahan dalam berdakwah di samping berjabat tangan antara usaha satu sama lain. Moganya, lewat tindakan-tindakan sedemikian, perihal tersebut sekali gus memanifestasikan sabda Rasullulah s.a.w di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a:

وعن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقالُ ذرة من كبر. قال رجل: إن الرجل يحب أن يكون ثوبه حسناً ونعله حسناً. قال: إن الله جميلٌ يحب الجمال ، الكبر بطر الحق وغمط الناس. رواه مسلم.

“Tidak akan masuk surga orang yang dalam hatinya ada kesombongan seberat biji debu”. Ada seorang yang bertanya: Sesungguhnya setiap orang suka (memakai) baju yang indah, dan alas kaki yang bagus, (apakah ini termasuk sombong?). Rasulullah shallalahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah Maha Indah dan mencintai keindahan, kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain”.[1]





[1] HR Muslim : No. 91

** Dipetik daripada Majalah Ar-Risalah, Isu ke-15, terbitan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Copyright © 2015. Pelita Kalam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger