Featured Post Today
print this page
Latest Post
Showing posts with label Alam Melayu. Show all posts
Showing posts with label Alam Melayu. Show all posts

Identiti Budaya : Membina Jati Diri dan Maruah Bangsa Melayu


Budaya sesebuah masyarakat merupakan antara elemen bagi menggambarkan tahap kemajuan sesebuah ketamadunan. Seiring itu, lewat budaya yang ditonjolkan, identiti ketamadunan sesebuah masyarakat mula terbentuk. Sedangkan keperluan manusiawi menampakkan kesejajaran antara semua bangsa, tanpa mengira daerah, budaya setiap masyarakat akhirnya menunjukkan ciri-ciri yang menjadikannya unik dan berbeza.

Barangkali, atas kesedaran tersebut, kepentingan menonjolkan dan mengetengahkan identiti dan keunikan masing-masing menjadi begitu penting. Mentelah pula, keunikan itulah yang memberikan warga setiap masyarakat ciri-ciri khusus yang unik. Meniti zaman-zaman yang kompleks dengan pelbagai gaya dan citra, kewujudan sesebuah masyarakat harus ditekankan lewat penekanan identiti dirinya.

Demikian halnya, Nasoha Saabin, seorang ilmuan Melayu, menggariskan bahawa identiti Melayu terbentuk atas empat paksi utama, yakni Islam, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, serta busana Melayu. Meneliti dalam konteks semasa, adalah membimbangkan menurutnya apabila masyarakat Melayu sendiri tidak lagi berbangga atas keempat-empat paksi yang disebut. Hasilnya, masyarakat Melayu akan mula melihat bangsa Melayu sebagai dasar genetik bangsa yang tidak lagi relevan. Akhirnya, imej Melayu itu sendiri menjadi sebuah imej yang lapuk dan usang.

Sedangkan demikian, imej ‘moden’ yang kononnya lebih universal langsung dipakaikan kepada diri sendiri. Ikutan itu, tatkala berhadapan dengan krisis identiti dan ketidakteguhan terhadap identiti sendiri, identiti yang dipandang sebagai lebih utuh dan kuat menjadi pedoman dan sandaran. Dalam hal ini, berubah-ubah mengikut perkembangan zaman, budaya-budaya luar daripada budaya Melayu induk serta alam Melayu sendiri menjadi kiblat. Menurut catitan Nasoha Saabin, antaranya termasuklah budaya India, Arab, dan Inggeris.

Malahan, mengikut cerita yang didengarkan kepadanya sewaktu kecil pada zaman penjajahan, sekalangan orang Melayu telah meninggalkan identiti Melayu masing-masing untuk mendekati identiti Inggeris. Sepulangnya mereka daripada pengajian di tanah Inggeris, mereka telah bernikah dengan wanita-wanita berkulit putih di samping berbusana Inggeris. Mengeruhkan lagi keadaan, pertuturan bahasa Melayu mereka turut terjejas sehingga menampakkan ciri-ciri lenggok bahasa Eropah.

Berbalik pada wacana, sama ada secara sedar ataupun tidak, konsep identiti universal sebenarnya merupakan sebuah idealisme yang dicipta minda-minda yang bersikap kurang bangga atas identiti sendiri. Kalaupun ada, perkara yang ingin ditonjolkan sebenarnya merupakan nilai-nilai universal dan bukannya imej universal itu sendiri.

Merujuk secara khususnya pula kepada paksi identiti lewat busana, masyarakat Melayu harus berusaha untuk menampilkan imej dan identiti Melayu pada saat-saat yang mengizinkan. Apatah pula dalam majlis-majlis bercirikan kebudayaan seperti majlis pernikahan dan sebagainya. Malahan, andai keadaan mengizinkan, busana yang bercirikan identiti Melayu dapat ditonjolkan dalam majlis-majlis yang menemukan pelbagai kaum dan budaya asing.

Andai ditelusuri sejarah, busana Melayu malahan pernah digayakan dengan bangga oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah semasa menghadiri Istiadat Pertabalan King George V di London pada 1910. Membandingkan pula dengan sejarah Islam, nilai kebanggaan yang sama pernah ditonjolkan Ibnu Khaldun, antara pemikir Islam yang paling penting.

Menurut catitan-catitan sejarah, Ibnu Khaldun tetap teguh berjubah Maghribi sewaktu menjadi hakim perundangan di Kaherah, Mesir. Menentang kelaziman pada zaman dan daerah tersebut, beliau tetap teguh akan jati dirinya sebagai seseorang yang berketurunankan Andalusia Maghribi. Mengikut prinsip assabiyah yang diketengahkan Ibnu Khaldun, secara tidak langsung, identiti yang dibawanya lewat busana pemakaiannya sekali gus meningkatkan semangat kesatuan dan kebanggaan akan tradisi bangsanya.

Mengambil iktibar daripada tindak-tanduk kedua-dua tokoh yang disebutkan, identiti budaya masyarakat asal mereka tidak pernah ditinggalkan. Sekalipun terpaksa menongkah arus yang tidak menyebelahi diri mereka, kedua-dua individu tersebut telah berdiri kukuh atas paksi identiti masing-masing. Menentang konvensi zaman serta imej yang lebih ‘moden’, ciri-ciri unik budaya masing-masing telah dikekalkan di samping tetap menghormati ketertiban dalam berbusana sebagai seorang warga Islam.


Menyelaraskan perbincangan dalam konteks semasa, pengukuhan identiti masyarakat Melayu pada pandangan dunia haruslah diusahakan secara sedar dan bermaya. Jelasnya, lewat identiti Melayu yang ampuh sebagai kulit terhadap ketamadunan masyarakat, secara bertahap, dapatlah terbentuk jua akan konsep jati diri dan maruah bagi orang Melayu sendiri.
0 comments

Menjejak Akal Wali Songo dalam Pembudayaan Islam



Sejarah memainkan peranan yang besar dalam mengorak masa hadapan sesebuah masyarakat. Tidak terlepas daripada fenomena tersebut merupakan budaya Nusantara yang jelasnya turut terpengaruh sejarahnya sendiri. Jelas sekali, sejarahnya yang unik turut telah memainkan peranan yang besar dalam membentuk perawakan dan identiti masyarakat Nusantara.

Seiring dengan penjajahan dan perperangan yang pernah mengambil tempat di benua ini, Masyarakat Nusantara turut berhadapan dengan serangan bertubi-tubi terhadap identiti dan jati diri asalnya. Namun demikian, tidak kira sama ada nuansa yang dibawa budaya asing tersebut positif mahupun negatif, sebarang perubahan pastinya mendapat kecaman dan ketidaksenangan daripada masyarakat asli.

Tidak memeranjatkan, sesetengah mubaligh Islam yang datang ke benua Asia Tenggara untuk menyebarkan syiar-syiar agama tersebut turut menerima tentangan daripada masyarakat peribumi. Secara khususnya, mubaligh-mubaligh agama Islam telah berhadapan dengan kesukaran di tanah Jawa yang mempunyai jumlah besar penganut agama Hinduisme dan Buddhisme.

Mengakuri kesulitan tugas-tugas mubaligh tersebut, Sultan Demak, Sultan Syah Alam Akbar kemudiannya telah menghimpunkan dan meminta nasihat daripada sekumpulan wali Allah. Dalam peredaran zaman, kumpulan tersebut digelarkan sebagai Wali Songo yang antaranya terdiri daripada Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Giri, Sunang Gunung Jati, Sunan Kalijaga, Sunan Kudus dan Sunan Muria. Tanah Jawa pada abad ke-15 telah berhadapan dengan masalah yang besar lewat keadaan masyarakat yang semakin tidak terurus. Serebahnya empayar Hindu Majapahit, kumpulan Wali Songo melaporkan kepada sultan mereka bahawa tanah tersebut kian dicemari pelbagai permasalahan di samping menyaksikan rakyatnya hidup dalam serba kemiskinan. Hasilnya, agama Islam tidak mempunyai peluang untuk berkembang dan berakar dengan berkesan di rantau tersebut.

Menggemparkan suasana mesyuarat tersebut, Sunan Kalijaga, wali termuda dalam kumpulan Wali Songo, mencelah mesyuarat tersebut serta meminta kebenaran untuk berhujah. Bertentangan dengan gagasan-gagasan serta saranan-saranan yang diberikan para sunan yang lain, Sunan Kalijaga menyarankan agar beberapa tradisi pra-Islam diwujudkan semula dengan tujuan untuk membangunkan Islam.  Saranan tersebut disambut pelbagai kemusykilan dalam benak para wali lain yang berpendapat bahawa pengembalian kepada budaya lama secara langsung turut bererti pengembalian kepada tradisi menyembah berhala.

Menjernihkan keadaan, Sunan Kalijaga menyusulkan agar masjid-masjid di Demak dilengkapkan dengan alat muzik gamelan di samping beduk yang sedia ada. Menurutnya, beduk yang sedia ada tidak mencukupi untuk menarik masyarakat Jawa pada masa tersebut untuk mendekati masjid dan malah hanya menghasilkan masyarakat yang budheg ataupun tuli. Seperti mukadimah hujahnya yang menerima tentangan, para wali tersebut murka dan musykil atas saranan yang diberikan. Lantaran itu, Sunan Kalijaga menjelaskan, “agama Hindu dan Buddha telah membantu kita untuk membina masjid-masjid di Demak dengan pelbagai cara seperti menebang pohon dan membawa kayu-kayan ke Bandar. Sekiranya gamelan merupakan elemen yang tradisional dalam budaya kita, tidakkah dapat kita membaca  kalimah Allah s.w.t  dalam permainan gamelan sepertinya ucapan bismillah yang dibaca sebelum memakan daging?” Melanjutkan hujahnya, Sunan Kalijaga berpendapat bahawa masyarakat boleh membaca kalimah syahadah sebelum memasuki perkarangan masjid untuk mendengar alunan gamelan.

Secara fenomenal, lewat implementasi saranan tersebut, usulan Sunan Kalijaga membawa masyarakat Jawa untuk mendekati masjid. Menariknya, setelah peristiwa tersebut, masyarakat Jawa antaranya mula menyebut kelakuan pergi ke masjid sebagai ‘melihat sahadatain’ ataupun melihat kalimah syahadah. Islam yang sebelumnya begitu jauh daripada masyarakat Jawa semakin didekati lewat penggunaan mekanisme budaya tradisional.

Mengimbuhkan fenomena yang dihasilkan secara strategik, amalan-amalan pra-Islam seperti sraddha turut diadaptasikan. Secara tradisional, sraddha merupakan amalan menyajikan perkara-perkara tertentu buat roh para leluhur mereka. Masyarakat Jawa pra-Islam percaya bahawa amalan tersebut penting untuk memastikan kebajikan serta kesentosaan negara dan bangsa. Mengadaptasikan budaya tersebut, sraddha telah digantikan dengan upacara hajat dalem, yakni acara pengorbanan untuk mendoakan restu dan keampunan daripada Allah s.w.t.

Strategi yang dilakarkan Sunan Kalijaga melahirkan perkembangan agama Islam yang fenomenal. Lewat akal kebijaksanaannya, masyarakat tempatan mula mendekati agama Islam di samping mengenali Allah s.w.t dan rasul-Nya. Kalendar tradisional Jawa yang dahulunya mengikut acuan sistem solar, yakni mengikut peredaran matahari turut telah diubah Sultan Agung pada tahun 1633 untuk mengikut sistem kiraan lunar.

Para agamawan seperti kumpulan Wali Songo telah memainkan peranan yang penting dalam penyebaran syiar-syiar Islam. Jelasnya, kebijaksanaan mereka terhadap agama dan budaya tempatan telah menjadi tunggak kepada perkembangan Islam pada zaman tersebut. Antara lainnya, hal tersebut turut dapat ditelusuri lewat tindakan guru Sunan Kalijaga, yakni Sunan Bonang yang menghasilkan jurus-jurus tertentu dengan mengikut acuan huruf Hijaiyyah. Bermula daripada huruf alif dan diakhiri dengan hurut ya, jurus-jurus yang diciptakan sunan tersebut bertujuan untuk mendidik para santri dan muridnya untuk membaca kalimah-kalimah Allah s.w.t. Kini, jurus-jurus yang diciptakan Sunan Bonang masih dilestarikan Padepokan Ilmu Sujud Tenaga Dalam ataupun Silat Tauhid Indonesia.

            Keberkesanan kumpulan Wali Songo dalam menyebarkan Islam di daerah yang dahulunya begitu kental dengan kepercayaan pra-Islam merupakan akal dan kebijaksanaan mereka. Jelasnya, Islam telah tersebar di tanah Jawa lewat strategi-strategi tertentu. Kumpulan Wali Songo, menyedari bahawa ungkapan swuh rep nda tatita, genti kang cinarita (biarlah ia didiamkan, tinggalkan yang lampau dan mulakan ceritera baru) dalam tradisi peradaban Jawa kurang ideal dalam penyempurnaan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin-pemimpin Islam. Nescaya, tompok-tompok hitam dalam budaya Jawa tradisional harus dimurnikan dan disesuaikan dengan hukum syarak. Apatah lagi, akal masyarakat yang sudahpun terbiasa dengan kepercayaan lampau yang sedia ‘baik, indah, dan berguna’ bagi masyarakat tersebut tidak mudah dihapuskan dan digantikan dengan kepercayaan baru. Jelas sekali, bagi para sunan daripada kumpulan Wali Songo, tradisi lampau merupakan bekas kosong yang longgar namun mampu diisikan agama Islam. Hatta, apa yang dilakukan para sunan tersebut ialah untuk memastikan bekas yang kosong tersebut dapat mengikut bentuk isi yang ‘baru’ itu. 
0 comments

Syirik dalam Alam Melayu : Antara Budaya dan Gejala


"adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, syarak mengata, adat memakai, iya kata syarak, iya kata adat"

Usaha untuk menaikkan taraf ketamadunan sesebuah bangsa lazimnya menampakkan kecenderungan untuk menampilkan fenomena-fenomena budaya yang positif semata. Namun demikian, sealiran dengan perihal tersebut, haruslah diakuri juga akan perihal-perihal kurang positif yang turut terdapat dalam sesebuah bangsa. Dalam konteks budaya Melayu, perihal-perihal yang kurang molek pada pandangan masyarakat, namun masih berleluasa, kadangkala disebut sebagai gejala. Jelasnya, tindakan membezakan antara budaya dan gejala sengaja dilakukan bagi menunjukkan pertentangan antara yang baik dan yang buruk.

Menyelaraskan subjek dengan konteks penulisan, Frank Sweetenham, seorang Residen di Tanah Melayu, telah merakamkan dalam bentuk penulisan akan rasa kejanggalannya melihat tindak-tanduk segelintir manusia Melayu. Biarpun jujur, nada yang tajam dan sinis digunakan bagi menyuarakan pemerhatiannya yang kritis, sekali gus menjadikan karyanya antara karya-karya awal yang mengajak bangsa Melayu untuk bermuhasabah diri.

Menyimpulkan keironian yang ditunjukkan bangsa Melayu, beliau turut meluahkan betapa setianya bangsa Melayu terhadap agama Islam. Bahkan, mempamerkan nilai kesetiaan yang tidak dapat dijual beli, Sweetenham menulis akan bagaimana orang Melayu lebih rela disalib daripada menukar agamanya. Berhadapan dengan kekecewaan, para mubaligh Kristian akhirnya mengalah dalam penyebaran agama Islam dalam kalangan orang Melayu.

Meski demikian, biarupun orang Melayu sejak dahulu lagi digambarkan sebagai orang yang suka mengaji, sembahyang, dan berpuasa, proses menyebatikan ilmu agama dengan diri orang Melayu jelasnya kurang ditekankan. Ironinya, biarpun kuat beragama, masyarakat Melayu dahulu turut terlibat dalam gejala-gejala moral seperti berjudi, melarikan isteri orang, membunuh, berdendam, mengamuk, melatah, dan gemar berhibur. Meletakkan catitan-catitan tersebut dalam perspektif hari ini, permasalahan-permasalahan tersebut jelasnya bukanlah perkara yang asing bagi masyarakat Melayu hari ini. Semacamnya, bersama dengan warisan-warisan Melayu yang memanfaatkan, terdapat juga warisan-warisan Melayu yang memudaratkan.

Dalam karya ‘Malay Sketches’ yang ditulis Sweetenham, beliau menggambarkan juga kehairanan beliau melihat keadaan yang berlegar sekitar peristiwa sultan yang terjatuh sakit. Mengamalkan upcara yang dinamakan ‘adat berhantu’, para pawang telah dipanggil untuk mengubati sultan setelah usaha para tabib dan doktor British telah bertemu jalan buntu. Para pawang itu kemudiannya akan menyeru bantuan jin untuk mengubati sultan. Secara ringkasnya, Sweetenham menyindir orang Melayu yang cenderung meminta bantuan dari jin dalam keadaan-keadaan gawat dan hanya melihat pengabdian mutlak kepada Tuhan sebagai jalan akhir.

Masalahnya, dari sudut pandang Sweetenham, ialah gejala-gejala syirik tersebut seolahnya mendapat pengiktirafan insititusi kepimpinan masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Malahan, dalam Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan Perak, tulisan berkenaan kanun negeri Perak pada abad ke-18, pawang antara lainnya merupakan raja dalam rumah sakit dan sawah padi serta harus diberikan penghormatan yang selayaknya. Jelasnya, sedangkan amalan merujuk kepada jin berleluasa pada zaman Islam sudahpun bertapak dalam tamdun Melayu, amalan tersebut sebenarnya bukanlah sesuatu yang diajarkan agama Islam. Hal tersebut menariknya telah lama disedari segenap pengkaji dan ilmuan Barat pada waktu demikian.

Di sudut yang lain pula, unsur syirik dalam alam Melayu seterusnya turut dapat diperhatikan dalam segenap penulisan Mohd. Taib Osman, mantan Naib Canselor di Universiti Malaya. Menyelami dada ilmu penulisannya dalam pelbagai tulisan, profesor yang berasal dari Singapura itu mencatitkan bagaimana orang Melayu seolahnya taksub pada perkara-perkara ghaib. Menariknya berkenaan pola pemikiran orang-orang Melayu, mereka lebih gemarkan perkara-perkara yang berbaur mistik dan ghaib berbanding perkara-perkara yang nyata.

Hal tersebut antaranya turut boleh ditelusuri dalam ketaksuban sekalangan orang Melayu dalam pengagungan individu-individu tertentu serta kelaziman mengangkat pemakaman-pemakaman tertentu sebagai keramat. Sama ada secara sedar mahupun tidak, permasalahan-permasalahan yang dikongsikan kedua-dua ilmuan yang dikemukakan merupakan antara masalah yang membayangi pemartabatan budaya Melayu. Dalam hal ini, masalahnya turut boleh ditekankan apabila gejala-gejala sedemikian disalah tafsir sebagai adat dan budaya.


Berbalik kepada wacana, menyingkap permasalan-permasalahan tersebut dalam perspektif semasa, wajarlah seandainya masyarakat Melayu dapat bermuhasabah diri akan ‘adat-adat’ yang ingin dikekalkan. Nescaya, sebarang adat, andai tidak mendatang faedah mahupun manfaat, dapatlah digugurkan dan tidak diamalkan. Mentelah pula, adat Melayu sendiri mengajarkan akan pentingnya menyelaraskan akidah dan tauhid masyarakat Melayu dengan syarak. Sesuai itu, adat Melayu menulis akan seruan, ‘adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, syarak mengata, adat memakai, iya kata syarak, iya kata adat.’
0 comments

Seni Sebagai Medium Tarbiyah


Pengenalan

Andai seni penggerak batin manusia, mampukah hal yang sama mencerna akal manusia agar dirangsang dan dijana? Demikian halnya, seni merupakan potensi besar yang dalam konteks hari ini, masih belum dicanai sepenuhnya agar dapat digunakan secara berkesan dalam menggerakkan ummah. Bahkan, dalam menyebutkan tentang seni sebagai medium penggerak batin manusia, Vygotsky (1971), ilmuan psikologi dari Rusia, menyebutkan tentang seni sebagai medium yang mampu mencetuskan respons psikologi yang mendalam.

Konsep seni menurut Islam

            Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam. Dalam sejarah Islam, kita dapat melihat akan hasil kesenian Islam yang terkandung di dalamnya nilai akhlak murni. Baik dari seni suara dalam bacaan Al-Quran dan alunan qasidah mahupun seni sastera yang menggunakan bahasa yang indah dan perasaan yang lembut. Kesenian Islam telah dipercayai telah berkembang sejak Zaman Nabi Daud A.S dan putranya Nabi Sulaiman dan terus berkembang di zaman Nabi Muhammad S.A.W dan di zaman setelah Beliau sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syara’.

            Namun begitu, tidak kesemua seni yang sedia ada dapat diterima oleh Islam. Para ulama terdahulu telah meletakkan garis panduan untuk dijadikan pengukur bagi menentukan halal atau haramnya sesuatu karya seni itu. Seni atau karya seni itu mestilah baik dan mempunyai ciri-cirinya yang khusus. Antara lain ialah tidak merosakkan budi pekerti yang mulia serta tidak melalaikan orang daripada beribadat dan mengingati Allah. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong kearah ketaqwaan, kema’rufan, kesahihan dan budi yang mantap.

Kesenian Islam di Nusantara

            Menyingkap kembali sejarah ketamadunan Islam di rantau ini, dapat kita lihat akan kesenian Islam menyerlah hingga ke hari ini. Seni tulisan jawi seperti contoh, masih lagi diperlihara di sebahagian kawasan di rantau Melayu yang berpunca dari kesusasteraan Arab dan mempunyai hubungkait rapat dengan kebudayaan Islam. Ini sesuai dengan matlamat kesenian Islam yang mengutamakan kegunaan untuk kehidupan seharian. Malah kesenian Islam tidak hanya menumpu pada manusia secara individu, tetapi ia mempunyai orientasi social dan berpaksikan kepada keperluan masyarakat.
            Masyarakat di rantau ini dapat menyaksikan bahawa seni itu dapat dijadikan sebagai alat menyebarkan agama dan memperkukuhkan amal kebajikan dan kebaikan dikalangan ummat. Hasil kesenian Islam boleh menjadi factor pendorong yang insentif bagi mengajak masyarakat dalam mengingati dan memuji Allah. Banyak contoh dapat dipelajari daripada kesenian Islam yang terdahulu di rantau ini seperti seni Gamelan dan Zapin melayu.

Gamelan sebagai Medium Tarbiyah

Tidak memeranjatkan, dalam usaha awal untuk memperkenalkan Islam ke rantau Nusantara, seni telah digunakan sebagai kenderaan bagi mendekati masyarakat. Dalam hal ini, Serat Centhini, sebuah kitab Jawa kuno menjelaskan bagaimana Sunan Kalijaga, dalam sebuah pertemuan antara kumpulan Wali Songo dan Sultan Demak sekitar abad ke-15 telah menyarankan agar masjid-masjid di Demak dilengkapkan dengan alat muzik gamelan di samping beduk yang sedia ada. Menurutnya, beduk yang sedia ada tidak mencukupi untuk menarik masyarakat Jawa pada masa tersebut untuk mendekati masjid.

Tidak menghairankan, saranannya mengundang murka daripada segenap wali-wali yang lain. Menjernihkan keadaan, beliau berhujah, “Sekiranya gamelan merupakan elemen yang tradisional dalam budaya kita, tidakkah dapat kita membaca  kalimah Allah s.w.t  dalam permainan gamelan sepertinya ucapan bismillah yang dibaca sebelum memakan daging?” Melanjutkan hujahnya, Sunan Kalijaga berpendapat bahawa masyarakat boleh membaca kalimah syahadah sebelum memasuki perkarangan masjid untuk mendengar alunan gamelan.

Secara fenomenal, lewat implementasi saranan tersebut, masyarakat Jawa mula mendekati masjid secara massal. Menariknya, setelah peristiwa tersebut, masyarakat Jawa antaranya mula menyebut kelakuan pergi ke masjid sebagai ‘melihat sahadatain’ ataupun melihat kalimah syahadah. Islam yang sebelumnya begitu jauh daripada masyarakat Jawa semakin didekati lewat penggunaan mekanisme kesenian.

Sama ada secara langsung mahupun tidak, gerakan Sunan Kalijaga sekali gus mengimbau kembali gagasan Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin yang antara lainnya menyebutkan bahawa “sesiapa yang tidak terkesan hatinya akan musim bunga, atau oleh alat muzik serta getaran nadanya, maka fitrahnya telah menghidapi penyakit yang sukar diubati”.

Zapin Melayu sebagai Medium Tarbiyah

Jelasnya, asalkan kesenian yang dimaksudkan itu tumbuh daripada nilai-nilai yang teguh keislaman dan keimanannya, perkara tersebut sekali gus akan menggerakkan kebaikan dalam naluri seseorang. Memandang pula dalam konteks yang lebih dekat dengan budaya Singapura, perihal tersebut malahan bukanlah sesuatu yang janggal mahupun asing.

Misalnya, dalam mengiringi lagu-lagu bernafas Zapin Melayu, pantun-pantun yang tersemat dengan nilai-nilai ajaran Islam telah digunakan. Memetik contoh serangkap pantun daripada lagu Anak Ayam Turun Sepuluh, pantun yang lazim mengiringi lagu-lagu zapin, “Anak Ayam turun sembilan / Mati satu tinggal delapan / Menghadap guru membaca Quran / Pakai bertudung malu dan sopan”. Menyelarikan sistem akidah Islam dengan seni yang ditonjolkan, umat Melayu-Islam secara tersirat telah didedahkan akan peri penting menjaga adab dalam berguru “supaya engkau masuk syurga / nama syurga Jannatul Makwa”.

Meneliti rujukan-rujukan yang baru disebutkan dengan lebih kritis, kedua-dua perkara jelasnya telah diatur secara strategik. Bahkan, dalam konteks strategi yang dilakarkan Sunan Kalijaga, masyarakat tempatan mula mendekati agama Islam di samping mengenali Allah s.w.t dan rasul-Nya dengan lebih proaktif. Demikian halnya, kedua-dua perkara yang disebutkan jelas sekali menggunakan budaya popular yang sedia ada untuk mendekati masyarakat.

Sedangkan Sunan Kalijaga menggunakan gamelan sebagai kenderaan utama, tidak beberapa lama kemudiannya, ilmuan-ilmuan Nusantara lainnya telah menggunakan pantun bagi melengkapi irama-irama Zapin bagi tujuan dakwah. Dalam erti kata lain, nilai-nilai mahupun syiar-syiar Islam telah mengimbuhkan kesenian sedia ada bagi merapatkan jurang antara budaya Islami dengan budaya tempatan. Hal tersebut ternyata penting agar masyarakat setempat tidak rasa terasing daripada agama Islam yang sebenarnya datang dengan rasa keamanan dan ketenteraman.

Seni sebagai Medium Tarbiyah

Melihat dalam kanta semasa, konteks hari ini mendesak para ilmuan agama, asatizah, mahupun para alim ulama’ untuk mencari langkah yang sesuai bagi masalah yang semakin meruncing, iaitu penularan virus liberalisme dalam kalangan masyarakat Nusantara. Jelas sekali, pengaruh Barat yang semakin sukar ditolak secara keseluruhannya bertindak selaku cabaran besar untuk golongan yang peka dan peduli.

Mengulas tentang hal tersebut, Ustaz TM Fouzy, dalam sebuah wawancara dengan penulis pada 21 Jun 2014, menyebutkan berkenaan usaha yang lebih kental harus dipergiatkan dalam mendekati masyarakat yang belum sedia mesra dengan Islam mahupun aktiviti-aktiviti di masjid. Menggunakan majlis-majlis maulid mahupun selawat sebagai pelantaran, beliau percaya bahawa kaedah tersebut berpotensi dalam mendekatkan budaya Islam dengan masyarakat am. Secara tidak langsung, warga majlis tersebut sekali gus ditarbiyahkan secara halus dan tersirat, namun berseni.

Jelasnya, lewat alunan selawat dan qasidah dalam bentuk irama yang mudah digarap hawa telinga mahupun roh masyarakat, majlis-majlis tersebut menyelarikan dentuman jiwa mereka dengan zikir-zikir munajat bagi memuji Allah s.w.t. Menjelaskan hujahnya, sedangkan Ustaz TM Fouzy akur bahawa berdakwah adalah satu tanggungjawab yang berpanjangan, beliau berlega hati melihat kesenangan masyarakat hari ini, khususnya golongan belia, dalam mendekati masjid.  

Penutup

Menggunakan seni sebagai penggerak dakwah, contoh-contoh di atas menggalakkan penglibatan langsung ummah dalam dakwah yang dikendalikan. Nescaya, seni yang baik adalah seni yang berupaya untuk mendapatkan tindak balas langsung daripada masyarakat di samping mengejutkan ummah daripada buaian hidup. Menyimpulkan mauduk, andai ungkapan Vygotsky dijadikan sandaran, kesemua contoh-contoh di atas jelas sekali merupakan contoh unggul dalam menegaskan keupayaan seni untuk dijadikan medium tarbiyah demi penyemarakkan usaha dakwah.

Menceduk pula daripada pengalaman Sunan Kalijaga dalam cabaran pendakwahannya yang mengundang murka dan kritikan wali-wali sezamannya, moleklah andai segenap ilmuan agama, asatizah, mahupun para alim ulama’ dapat berganding bahu dalam memuliakan keindahan dalam berdakwah di samping berjabat tangan antara usaha satu sama lain. Moganya, lewat tindakan-tindakan sedemikian, perihal tersebut sekali gus memanifestasikan sabda Rasullulah s.a.w di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a:

وعن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقالُ ذرة من كبر. قال رجل: إن الرجل يحب أن يكون ثوبه حسناً ونعله حسناً. قال: إن الله جميلٌ يحب الجمال ، الكبر بطر الحق وغمط الناس. رواه مسلم.

“Tidak akan masuk surga orang yang dalam hatinya ada kesombongan seberat biji debu”. Ada seorang yang bertanya: Sesungguhnya setiap orang suka (memakai) baju yang indah, dan alas kaki yang bagus, (apakah ini termasuk sombong?). Rasulullah shallalahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah Maha Indah dan mencintai keindahan, kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain”.[1]





[1] HR Muslim : No. 91

** Dipetik daripada Majalah Ar-Risalah, Isu ke-15, terbitan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura
0 comments
 
Support : Copyright © 2015. Pelita Kalam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger