Identiti Budaya : Membina Jati Diri dan Maruah Bangsa Melayu


Budaya sesebuah masyarakat merupakan antara elemen bagi menggambarkan tahap kemajuan sesebuah ketamadunan. Seiring itu, lewat budaya yang ditonjolkan, identiti ketamadunan sesebuah masyarakat mula terbentuk. Sedangkan keperluan manusiawi menampakkan kesejajaran antara semua bangsa, tanpa mengira daerah, budaya setiap masyarakat akhirnya menunjukkan ciri-ciri yang menjadikannya unik dan berbeza.

Barangkali, atas kesedaran tersebut, kepentingan menonjolkan dan mengetengahkan identiti dan keunikan masing-masing menjadi begitu penting. Mentelah pula, keunikan itulah yang memberikan warga setiap masyarakat ciri-ciri khusus yang unik. Meniti zaman-zaman yang kompleks dengan pelbagai gaya dan citra, kewujudan sesebuah masyarakat harus ditekankan lewat penekanan identiti dirinya.

Demikian halnya, Nasoha Saabin, seorang ilmuan Melayu, menggariskan bahawa identiti Melayu terbentuk atas empat paksi utama, yakni Islam, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, serta busana Melayu. Meneliti dalam konteks semasa, adalah membimbangkan menurutnya apabila masyarakat Melayu sendiri tidak lagi berbangga atas keempat-empat paksi yang disebut. Hasilnya, masyarakat Melayu akan mula melihat bangsa Melayu sebagai dasar genetik bangsa yang tidak lagi relevan. Akhirnya, imej Melayu itu sendiri menjadi sebuah imej yang lapuk dan usang.

Sedangkan demikian, imej ‘moden’ yang kononnya lebih universal langsung dipakaikan kepada diri sendiri. Ikutan itu, tatkala berhadapan dengan krisis identiti dan ketidakteguhan terhadap identiti sendiri, identiti yang dipandang sebagai lebih utuh dan kuat menjadi pedoman dan sandaran. Dalam hal ini, berubah-ubah mengikut perkembangan zaman, budaya-budaya luar daripada budaya Melayu induk serta alam Melayu sendiri menjadi kiblat. Menurut catitan Nasoha Saabin, antaranya termasuklah budaya India, Arab, dan Inggeris.

Malahan, mengikut cerita yang didengarkan kepadanya sewaktu kecil pada zaman penjajahan, sekalangan orang Melayu telah meninggalkan identiti Melayu masing-masing untuk mendekati identiti Inggeris. Sepulangnya mereka daripada pengajian di tanah Inggeris, mereka telah bernikah dengan wanita-wanita berkulit putih di samping berbusana Inggeris. Mengeruhkan lagi keadaan, pertuturan bahasa Melayu mereka turut terjejas sehingga menampakkan ciri-ciri lenggok bahasa Eropah.

Berbalik pada wacana, sama ada secara sedar ataupun tidak, konsep identiti universal sebenarnya merupakan sebuah idealisme yang dicipta minda-minda yang bersikap kurang bangga atas identiti sendiri. Kalaupun ada, perkara yang ingin ditonjolkan sebenarnya merupakan nilai-nilai universal dan bukannya imej universal itu sendiri.

Merujuk secara khususnya pula kepada paksi identiti lewat busana, masyarakat Melayu harus berusaha untuk menampilkan imej dan identiti Melayu pada saat-saat yang mengizinkan. Apatah pula dalam majlis-majlis bercirikan kebudayaan seperti majlis pernikahan dan sebagainya. Malahan, andai keadaan mengizinkan, busana yang bercirikan identiti Melayu dapat ditonjolkan dalam majlis-majlis yang menemukan pelbagai kaum dan budaya asing.

Andai ditelusuri sejarah, busana Melayu malahan pernah digayakan dengan bangga oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah semasa menghadiri Istiadat Pertabalan King George V di London pada 1910. Membandingkan pula dengan sejarah Islam, nilai kebanggaan yang sama pernah ditonjolkan Ibnu Khaldun, antara pemikir Islam yang paling penting.

Menurut catitan-catitan sejarah, Ibnu Khaldun tetap teguh berjubah Maghribi sewaktu menjadi hakim perundangan di Kaherah, Mesir. Menentang kelaziman pada zaman dan daerah tersebut, beliau tetap teguh akan jati dirinya sebagai seseorang yang berketurunankan Andalusia Maghribi. Mengikut prinsip assabiyah yang diketengahkan Ibnu Khaldun, secara tidak langsung, identiti yang dibawanya lewat busana pemakaiannya sekali gus meningkatkan semangat kesatuan dan kebanggaan akan tradisi bangsanya.

Mengambil iktibar daripada tindak-tanduk kedua-dua tokoh yang disebutkan, identiti budaya masyarakat asal mereka tidak pernah ditinggalkan. Sekalipun terpaksa menongkah arus yang tidak menyebelahi diri mereka, kedua-dua individu tersebut telah berdiri kukuh atas paksi identiti masing-masing. Menentang konvensi zaman serta imej yang lebih ‘moden’, ciri-ciri unik budaya masing-masing telah dikekalkan di samping tetap menghormati ketertiban dalam berbusana sebagai seorang warga Islam.


Menyelaraskan perbincangan dalam konteks semasa, pengukuhan identiti masyarakat Melayu pada pandangan dunia haruslah diusahakan secara sedar dan bermaya. Jelasnya, lewat identiti Melayu yang ampuh sebagai kulit terhadap ketamadunan masyarakat, secara bertahap, dapatlah terbentuk jua akan konsep jati diri dan maruah bagi orang Melayu sendiri.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Copyright © 2015. Pelita Kalam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger