Sejarah memainkan peranan yang besar
dalam mengorak masa hadapan sesebuah masyarakat. Tidak terlepas daripada
fenomena tersebut merupakan budaya Nusantara yang jelasnya turut terpengaruh
sejarahnya sendiri. Jelas sekali, sejarahnya yang unik turut telah memainkan
peranan yang besar dalam membentuk perawakan dan identiti masyarakat Nusantara.
Seiring dengan
penjajahan dan perperangan yang pernah mengambil tempat di benua ini,
Masyarakat Nusantara turut berhadapan dengan serangan bertubi-tubi terhadap identiti
dan jati diri asalnya. Namun demikian, tidak kira sama ada nuansa yang dibawa
budaya asing tersebut positif mahupun negatif, sebarang perubahan pastinya
mendapat kecaman dan ketidaksenangan daripada masyarakat asli.
Tidak
memeranjatkan, sesetengah mubaligh Islam yang datang ke benua Asia Tenggara
untuk menyebarkan syiar-syiar agama tersebut turut menerima tentangan daripada
masyarakat peribumi. Secara khususnya, mubaligh-mubaligh agama Islam telah
berhadapan dengan kesukaran di tanah Jawa yang mempunyai jumlah besar penganut
agama Hinduisme dan Buddhisme.
Mengakuri
kesulitan tugas-tugas mubaligh tersebut, Sultan Demak, Sultan Syah Alam Akbar
kemudiannya telah menghimpunkan dan meminta nasihat daripada sekumpulan wali
Allah. Dalam peredaran zaman, kumpulan tersebut digelarkan sebagai Wali Songo
yang antaranya terdiri daripada Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan
Bonang, Sunan Drajat, Sunan Giri, Sunang Gunung Jati, Sunan Kalijaga, Sunan
Kudus dan Sunan Muria. Tanah Jawa pada abad ke-15 telah berhadapan dengan
masalah yang besar lewat keadaan masyarakat yang semakin tidak terurus.
Serebahnya empayar Hindu Majapahit, kumpulan Wali Songo melaporkan kepada
sultan mereka bahawa tanah tersebut kian dicemari pelbagai permasalahan di
samping menyaksikan rakyatnya hidup dalam serba kemiskinan. Hasilnya, agama
Islam tidak mempunyai peluang untuk berkembang dan berakar dengan berkesan di
rantau tersebut.
Menggemparkan
suasana mesyuarat tersebut, Sunan Kalijaga, wali termuda dalam kumpulan Wali
Songo, mencelah mesyuarat tersebut serta meminta kebenaran untuk berhujah.
Bertentangan dengan gagasan-gagasan serta saranan-saranan yang diberikan para
sunan yang lain, Sunan Kalijaga menyarankan agar beberapa tradisi pra-Islam
diwujudkan semula dengan tujuan untuk membangunkan Islam. Saranan tersebut disambut pelbagai
kemusykilan dalam benak para wali lain yang berpendapat bahawa pengembalian
kepada budaya lama secara langsung turut bererti pengembalian kepada tradisi
menyembah berhala.
Menjernihkan
keadaan, Sunan Kalijaga menyusulkan agar masjid-masjid di Demak dilengkapkan
dengan alat muzik gamelan di samping beduk yang sedia ada. Menurutnya, beduk
yang sedia ada tidak mencukupi untuk menarik masyarakat Jawa pada masa tersebut
untuk mendekati masjid dan malah hanya menghasilkan masyarakat yang budheg ataupun tuli. Seperti mukadimah
hujahnya yang menerima tentangan, para wali tersebut murka dan musykil atas
saranan yang diberikan. Lantaran itu, Sunan Kalijaga menjelaskan, “agama Hindu
dan Buddha telah membantu kita untuk membina masjid-masjid di Demak dengan
pelbagai cara seperti menebang pohon dan membawa kayu-kayan ke Bandar.
Sekiranya gamelan merupakan elemen yang tradisional dalam budaya kita, tidakkah
dapat kita membaca kalimah Allah
s.w.t dalam permainan gamelan sepertinya
ucapan bismillah yang dibaca sebelum memakan daging?” Melanjutkan hujahnya,
Sunan Kalijaga berpendapat bahawa masyarakat boleh membaca kalimah syahadah
sebelum memasuki perkarangan masjid untuk mendengar alunan gamelan.
Secara
fenomenal, lewat implementasi saranan tersebut, usulan Sunan Kalijaga membawa
masyarakat Jawa untuk mendekati masjid. Menariknya, setelah peristiwa tersebut,
masyarakat Jawa antaranya mula menyebut kelakuan pergi ke masjid sebagai
‘melihat sahadatain’ ataupun melihat
kalimah syahadah. Islam yang sebelumnya begitu jauh daripada masyarakat Jawa
semakin didekati lewat penggunaan mekanisme budaya tradisional.
Mengimbuhkan
fenomena yang dihasilkan secara strategik, amalan-amalan pra-Islam seperti sraddha turut diadaptasikan. Secara
tradisional, sraddha merupakan amalan
menyajikan perkara-perkara tertentu buat roh para leluhur mereka. Masyarakat
Jawa pra-Islam percaya bahawa amalan tersebut penting untuk memastikan
kebajikan serta kesentosaan negara dan bangsa. Mengadaptasikan budaya tersebut,
sraddha telah digantikan dengan
upacara hajat dalem, yakni acara
pengorbanan untuk mendoakan restu dan keampunan daripada Allah s.w.t.
Strategi yang
dilakarkan Sunan Kalijaga melahirkan perkembangan agama Islam yang fenomenal.
Lewat akal kebijaksanaannya, masyarakat tempatan mula mendekati agama Islam di
samping mengenali Allah s.w.t dan rasul-Nya. Kalendar tradisional Jawa yang
dahulunya mengikut acuan sistem solar, yakni mengikut peredaran matahari turut
telah diubah Sultan Agung pada tahun 1633 untuk mengikut sistem kiraan lunar.
Para agamawan
seperti kumpulan Wali Songo telah memainkan peranan yang penting dalam
penyebaran syiar-syiar Islam. Jelasnya, kebijaksanaan mereka terhadap agama dan
budaya tempatan telah menjadi tunggak kepada perkembangan Islam pada zaman
tersebut. Antara lainnya, hal tersebut turut dapat ditelusuri lewat tindakan
guru Sunan Kalijaga, yakni Sunan Bonang yang menghasilkan jurus-jurus tertentu
dengan mengikut acuan huruf Hijaiyyah. Bermula daripada huruf alif dan diakhiri dengan hurut ya, jurus-jurus yang diciptakan sunan
tersebut bertujuan untuk mendidik para santri dan muridnya untuk membaca
kalimah-kalimah Allah s.w.t. Kini, jurus-jurus yang
diciptakan Sunan
Bonang masih dilestarikan Padepokan Ilmu Sujud Tenaga Dalam ataupun Silat
Tauhid Indonesia.
Keberkesanan kumpulan Wali Songo dalam
menyebarkan Islam di daerah yang dahulunya begitu kental dengan kepercayaan
pra-Islam merupakan akal dan kebijaksanaan mereka. Jelasnya, Islam telah
tersebar di tanah Jawa lewat strategi-strategi tertentu. Kumpulan Wali Songo,
menyedari bahawa ungkapan swuh rep nda
tatita, genti kang cinarita (biarlah ia didiamkan, tinggalkan yang lampau
dan mulakan ceritera baru) dalam tradisi peradaban Jawa kurang ideal dalam
penyempurnaan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin-pemimpin Islam. Nescaya,
tompok-tompok hitam dalam budaya Jawa tradisional harus dimurnikan dan
disesuaikan dengan hukum syarak. Apatah lagi, akal masyarakat yang sudahpun
terbiasa dengan kepercayaan lampau yang sedia ‘baik, indah, dan berguna’ bagi
masyarakat tersebut tidak mudah dihapuskan dan digantikan dengan kepercayaan
baru. Jelas sekali, bagi para sunan daripada kumpulan Wali Songo, tradisi
lampau merupakan bekas kosong yang longgar namun mampu diisikan agama Islam.
Hatta, apa yang dilakukan para sunan tersebut ialah untuk memastikan bekas yang
kosong tersebut dapat mengikut bentuk isi yang ‘baru’ itu.
Post a Comment