"adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, syarak mengata, adat memakai, iya kata syarak, iya kata adat"
Usaha untuk menaikkan taraf ketamadunan
sesebuah bangsa lazimnya menampakkan kecenderungan untuk menampilkan
fenomena-fenomena budaya yang positif semata. Namun demikian, sealiran dengan
perihal tersebut, haruslah diakuri juga akan perihal-perihal kurang positif
yang turut terdapat dalam sesebuah bangsa. Dalam konteks budaya Melayu,
perihal-perihal yang kurang molek pada pandangan masyarakat, namun masih
berleluasa, kadangkala disebut sebagai gejala. Jelasnya, tindakan membezakan
antara budaya dan gejala sengaja dilakukan bagi menunjukkan pertentangan antara
yang baik dan yang buruk.
Menyelaraskan subjek dengan konteks
penulisan, Frank Sweetenham, seorang Residen di Tanah Melayu, telah merakamkan
dalam bentuk penulisan akan rasa kejanggalannya melihat tindak-tanduk
segelintir manusia Melayu. Biarpun jujur, nada yang tajam dan sinis digunakan
bagi menyuarakan pemerhatiannya yang kritis, sekali gus menjadikan karyanya
antara karya-karya awal yang mengajak bangsa Melayu untuk bermuhasabah diri.
Menyimpulkan keironian yang
ditunjukkan bangsa Melayu, beliau turut meluahkan betapa setianya bangsa Melayu
terhadap agama Islam. Bahkan, mempamerkan nilai kesetiaan yang tidak dapat
dijual beli, Sweetenham menulis akan bagaimana orang Melayu lebih rela disalib
daripada menukar agamanya. Berhadapan dengan kekecewaan, para mubaligh Kristian
akhirnya mengalah dalam penyebaran agama Islam dalam kalangan orang Melayu.
Meski demikian, biarupun orang
Melayu sejak dahulu lagi digambarkan sebagai orang yang suka mengaji,
sembahyang, dan berpuasa, proses menyebatikan ilmu agama dengan diri orang
Melayu jelasnya kurang ditekankan. Ironinya, biarpun kuat beragama, masyarakat
Melayu dahulu turut terlibat dalam gejala-gejala moral seperti berjudi,
melarikan isteri orang, membunuh, berdendam, mengamuk, melatah, dan gemar
berhibur. Meletakkan catitan-catitan tersebut dalam perspektif hari ini,
permasalahan-permasalahan tersebut jelasnya bukanlah perkara yang asing bagi
masyarakat Melayu hari ini. Semacamnya, bersama dengan warisan-warisan Melayu
yang memanfaatkan, terdapat juga warisan-warisan Melayu yang memudaratkan.
Dalam karya ‘Malay Sketches’ yang ditulis Sweetenham, beliau menggambarkan juga
kehairanan beliau melihat keadaan yang berlegar sekitar peristiwa sultan yang
terjatuh sakit. Mengamalkan upcara yang dinamakan ‘adat berhantu’, para pawang
telah dipanggil untuk mengubati sultan setelah usaha para tabib dan doktor
British telah bertemu jalan buntu. Para pawang itu kemudiannya akan menyeru
bantuan jin untuk mengubati sultan. Secara ringkasnya, Sweetenham menyindir
orang Melayu yang cenderung meminta bantuan dari jin dalam keadaan-keadaan
gawat dan hanya melihat pengabdian mutlak kepada Tuhan sebagai jalan akhir.
Masalahnya, dari sudut pandang
Sweetenham, ialah gejala-gejala syirik tersebut seolahnya mendapat
pengiktirafan insititusi kepimpinan masyarakat Melayu pada zaman tersebut.
Malahan, dalam Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan Perak, tulisan berkenaan
kanun negeri Perak pada abad ke-18, pawang antara lainnya merupakan raja dalam
rumah sakit dan sawah padi serta harus diberikan penghormatan yang selayaknya.
Jelasnya, sedangkan amalan merujuk kepada jin berleluasa pada zaman Islam
sudahpun bertapak dalam tamdun Melayu, amalan tersebut sebenarnya bukanlah
sesuatu yang diajarkan agama Islam. Hal tersebut menariknya telah lama disedari
segenap pengkaji dan ilmuan Barat pada waktu demikian.
Di sudut yang lain pula, unsur
syirik dalam alam Melayu seterusnya turut dapat diperhatikan dalam segenap
penulisan Mohd. Taib Osman, mantan Naib Canselor di Universiti Malaya.
Menyelami dada ilmu penulisannya dalam pelbagai tulisan, profesor yang berasal
dari Singapura itu mencatitkan bagaimana orang Melayu seolahnya taksub pada
perkara-perkara ghaib. Menariknya berkenaan pola pemikiran orang-orang Melayu,
mereka lebih gemarkan perkara-perkara yang berbaur mistik dan ghaib berbanding
perkara-perkara yang nyata.
Hal tersebut antaranya turut boleh
ditelusuri dalam ketaksuban sekalangan orang Melayu dalam pengagungan
individu-individu tertentu serta kelaziman mengangkat pemakaman-pemakaman
tertentu sebagai keramat. Sama ada secara sedar mahupun tidak,
permasalahan-permasalahan yang dikongsikan kedua-dua ilmuan yang dikemukakan
merupakan antara masalah yang membayangi pemartabatan budaya Melayu. Dalam hal
ini, masalahnya turut boleh ditekankan apabila gejala-gejala sedemikian disalah
tafsir sebagai adat dan budaya.
Berbalik kepada wacana, menyingkap
permasalan-permasalahan tersebut dalam perspektif semasa, wajarlah seandainya
masyarakat Melayu dapat bermuhasabah diri akan ‘adat-adat’ yang ingin
dikekalkan. Nescaya, sebarang adat, andai tidak mendatang faedah mahupun
manfaat, dapatlah digugurkan dan tidak diamalkan. Mentelah pula, adat Melayu
sendiri mengajarkan akan pentingnya menyelaraskan akidah dan tauhid masyarakat
Melayu dengan syarak. Sesuai itu, adat Melayu menulis akan seruan, ‘adat
bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, syarak mengata, adat
memakai, iya kata syarak, iya kata adat.’