حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، قَالَ سَمِعْتُ عَبْد الرَّحْمَنِ بْنَ الْقَاسِمِ، قَالَ سَمِعْتُ الْقَاسِمَ، يَقُولُ سَمِعْتُ عَائِشَةَ، تَقُولُ خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلاَّ الْحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَىَّ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَنَا أَبْكِي قَالَ " مَا لَكِ أَنُفِسْتِ ". قُلْتُ نَعَمْ. قَالَ " إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الْحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ ". قَالَتْ وَضَحَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ نِسَائِهِ بِالْبَقَرِ.
''Aisha berkata, "kami melangkah pergi dengan satu-satunya niat untuk melakukan Hajj namun didatangi Haid setelah sampai di Sarif (sebuah tempat enam batu dari Mekah). Rasullulah s.a.w mendatangiku semasa aku menangis.
Haid merupakan antara masalah lumrah yang dihadapi golongan wanita tatkala mengerjakan ibadah umrah mahupun haji. Demikian halnya, jemaah-jemaah wanita, khususnya bagi yang menyedari bahawa waktu haid mereka bakal menjelang ataupun sudah tiba kadangkala terperangkap dalam dilema sama ada mereka perlu menjatuhkan niat umrah tatkala berada di miqat. Demikian halnya, perkara tersebut sebenarnya telahpun dibahaskan oleh segenap ulama' dalam mencari jalan penyelesaiannya.
Meski begitu, para jemaah harus menyedari bahawa seseorang tidak diperbolehkan untuk menangguh daripada memasuki ihram. Dari sudut fiqh, seorang wanita boleh memasuki ihram meskipun berada dalam keadaan nifas ataupun haid. Dalam erti kata lain, jemaah wanita tidak boleh menagguhkan dirinya daripada memasuki ihram sehingga tibanya di Mekah. Namun demikian, beliau tidak boleh menyempurnakan ibadah umrah sehingga dirinya suci. Kesemua ibadah-ibadah lain kecuali bertawaf bagaimanapun diperbolehkan.
Dari Ibnu ‘Abbas, Rasullulah s.a.w bersabda:
الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ فَأَقِلُّوا مِنْ الْكَلَامِ
“Tawaf di kaabah seperti solat, namun di dalamnya diperbolehkan sedikit perbualan.” (HR.
Kaedah-kaedah Mengatasi Permasalahan
Berhubung wacana, terdapat khilaf akan kaedah-kaedah mengatasi permasalahan yang dibincangkan.
Pertama, sesetengah ulama berpendapat bahawa tawaf tidak dibenarkan sewaktu dalam keadaan haid sepertimana yang berlaku dalam ibadah solat dan puasa. Hujah utama mereka ialah ketiga-tiga ibadah tersebut mengandungi larangan-larangan yang serupa.
Kedua, kendatipun pendapat di atas bernas, terdapat juga ulama-ulama lain yang berpendapat sebaliknya berkenaan hal tersebut. Mazhab Hanafi dan Hambali misalnya berpendapat bahawa wanita dalam keadaan haid masih boleh melakukan tawaf.
Biarpun begitu, ibadah tersebut perlu disusuli dengan membayar dam. Alim ulama kedua-dua mazhab tersebut berpendapat bahawa hubungan antara kesucian ritual dan tawaf tidak serupa dengan kesucian ritual yang diperlukan dalam solat. Mereka menghujahkan bahawa taharah (menyucikan diri) bukanlah sebuah syarat yang diperlukan seperti sebelumnya melakukan solat. Sebaliknya, kesucian daripada hadas besar dan kecil dianggap sebagai sebuah kewajiban, lantaran itu membenarkan pembayaran dam terhadap pelanggaran yang telah dilakukan.
"Wanita dalam keadaan haid harus melakukan segala ibadah Haji mengikut kemampuannya. Apa yang tidak dapat beliau kawal dapat dimaafkan. Atas dasar itu, dia boleh melakukan tawaf (sekalipun berada dalam keadaan haid). Wanita itu haruslah mandi sebagaimana beliau dalam keadaan ihram - keadaan begini malah lebih memerlukan penyucian tersebut - dan beliau harus mengikat dirinya dengan ketat sebagaimana yang berlaku terhadap darah istihadah - keadaan begini malah lebih memerlukan penyucian tersebut"
Dalam hal ini, ulama-ulama Mazhab Hanafi berpendapat bahawa tawaf masih boleh dilakukan, yakni dengan menyucikan dirinya sebelum menutupi kemaluannya dengan rapat agar titisan darah tidak akan terkeluar. Tawaf kemudiannya dapat dilanjutkan dengan saie. Namun, akan dikenakan pembayaran dam. Pendapat tersebut dapat disandarkan dalam kitab al-Mabsuth tulisan Imam Muhammad ibn Ahmad ibn Abi Sahl as-Sarakhsi.
Mazhab Hambali walau bagaimanapun berpendapat bahawa pembayaran dam tidak perlu dilakukan sekiranya jemaah terpaksa atau takut ditinggalkan rombongan. Hal ini dapat disandarkan dalam Kitab al-Mughni fi Fikihi al-Hajj wal Umrah.
Ketiga, sesetengah ulama lain merasakan syarat bagi kesucian dalam tawaf setara dengan syarat menutup aurat dalam solat. Dalam erti kata lain, syarat-syarat tersebut wajib apabila terdapat keupayaan untuk menyempurnakannya, namun dapat digugurkan kewajibannya dalam keadaan darurat. Dalam keadaan ini, Imam Ibn Al-Qayyim mengutarakan :
"Sewaktu hayat kehidupan Rasullulah s.a.w serta Khulafah Rashidin, terdapat rombongan Haji yang tergendala di Mekah dek kaum wanita yang menghadapi haid. Mereka lantaran itu terpaksa menunggu sehingga wanita-wanita tersebut kembali suci dan dapat mengerjakan tawaf. Rasullulah s.a.w kemudiannya bertanya tentang Safiyyah r.a, "Adakah beliau akan mengendalakan kita?. Mereka menjawab, "Beliau telahpun menyempurnakan Tawaf Ifadah (sebelum datangnya haid)".
"Safiyyah r.a pada waktu tersebut berupaya membersihkan dirinya dan menyempurnakan tawaf. Demikian halnya walau bagaimanapun, tidak berkemungkinan bagi rombongan-rombongan hari ini untuk menunggu para jemaah wanita yang berhadapan dengan haid."
Ibn Al-Qayyim berpendapat bahawa para wanita yang berada dalam keadaan haid masih boleh melakukan Tawaf. Menurut pendapatnya, ini tidak membelakangi prinsip-prinsip Syariah memandangkan keperluan menjaga kesucian diri dapat digugurkan memandangkan tidak lagi berkeupayaan untuk menjaganya. Beliau menegaskan bahawa hukum syariah tidak menuntut seseorang untuk menjaga sesuatu di luar keupayaannya dan tidak pula diletakkan sebarang larangan atas desakan tersebut.
Post a Comment