Featured Post Today
print this page
Latest Post

Syirik dalam Alam Melayu : Antara Budaya dan Gejala


"adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, syarak mengata, adat memakai, iya kata syarak, iya kata adat"

Usaha untuk menaikkan taraf ketamadunan sesebuah bangsa lazimnya menampakkan kecenderungan untuk menampilkan fenomena-fenomena budaya yang positif semata. Namun demikian, sealiran dengan perihal tersebut, haruslah diakuri juga akan perihal-perihal kurang positif yang turut terdapat dalam sesebuah bangsa. Dalam konteks budaya Melayu, perihal-perihal yang kurang molek pada pandangan masyarakat, namun masih berleluasa, kadangkala disebut sebagai gejala. Jelasnya, tindakan membezakan antara budaya dan gejala sengaja dilakukan bagi menunjukkan pertentangan antara yang baik dan yang buruk.

Menyelaraskan subjek dengan konteks penulisan, Frank Sweetenham, seorang Residen di Tanah Melayu, telah merakamkan dalam bentuk penulisan akan rasa kejanggalannya melihat tindak-tanduk segelintir manusia Melayu. Biarpun jujur, nada yang tajam dan sinis digunakan bagi menyuarakan pemerhatiannya yang kritis, sekali gus menjadikan karyanya antara karya-karya awal yang mengajak bangsa Melayu untuk bermuhasabah diri.

Menyimpulkan keironian yang ditunjukkan bangsa Melayu, beliau turut meluahkan betapa setianya bangsa Melayu terhadap agama Islam. Bahkan, mempamerkan nilai kesetiaan yang tidak dapat dijual beli, Sweetenham menulis akan bagaimana orang Melayu lebih rela disalib daripada menukar agamanya. Berhadapan dengan kekecewaan, para mubaligh Kristian akhirnya mengalah dalam penyebaran agama Islam dalam kalangan orang Melayu.

Meski demikian, biarupun orang Melayu sejak dahulu lagi digambarkan sebagai orang yang suka mengaji, sembahyang, dan berpuasa, proses menyebatikan ilmu agama dengan diri orang Melayu jelasnya kurang ditekankan. Ironinya, biarpun kuat beragama, masyarakat Melayu dahulu turut terlibat dalam gejala-gejala moral seperti berjudi, melarikan isteri orang, membunuh, berdendam, mengamuk, melatah, dan gemar berhibur. Meletakkan catitan-catitan tersebut dalam perspektif hari ini, permasalahan-permasalahan tersebut jelasnya bukanlah perkara yang asing bagi masyarakat Melayu hari ini. Semacamnya, bersama dengan warisan-warisan Melayu yang memanfaatkan, terdapat juga warisan-warisan Melayu yang memudaratkan.

Dalam karya ‘Malay Sketches’ yang ditulis Sweetenham, beliau menggambarkan juga kehairanan beliau melihat keadaan yang berlegar sekitar peristiwa sultan yang terjatuh sakit. Mengamalkan upcara yang dinamakan ‘adat berhantu’, para pawang telah dipanggil untuk mengubati sultan setelah usaha para tabib dan doktor British telah bertemu jalan buntu. Para pawang itu kemudiannya akan menyeru bantuan jin untuk mengubati sultan. Secara ringkasnya, Sweetenham menyindir orang Melayu yang cenderung meminta bantuan dari jin dalam keadaan-keadaan gawat dan hanya melihat pengabdian mutlak kepada Tuhan sebagai jalan akhir.

Masalahnya, dari sudut pandang Sweetenham, ialah gejala-gejala syirik tersebut seolahnya mendapat pengiktirafan insititusi kepimpinan masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Malahan, dalam Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan Perak, tulisan berkenaan kanun negeri Perak pada abad ke-18, pawang antara lainnya merupakan raja dalam rumah sakit dan sawah padi serta harus diberikan penghormatan yang selayaknya. Jelasnya, sedangkan amalan merujuk kepada jin berleluasa pada zaman Islam sudahpun bertapak dalam tamdun Melayu, amalan tersebut sebenarnya bukanlah sesuatu yang diajarkan agama Islam. Hal tersebut menariknya telah lama disedari segenap pengkaji dan ilmuan Barat pada waktu demikian.

Di sudut yang lain pula, unsur syirik dalam alam Melayu seterusnya turut dapat diperhatikan dalam segenap penulisan Mohd. Taib Osman, mantan Naib Canselor di Universiti Malaya. Menyelami dada ilmu penulisannya dalam pelbagai tulisan, profesor yang berasal dari Singapura itu mencatitkan bagaimana orang Melayu seolahnya taksub pada perkara-perkara ghaib. Menariknya berkenaan pola pemikiran orang-orang Melayu, mereka lebih gemarkan perkara-perkara yang berbaur mistik dan ghaib berbanding perkara-perkara yang nyata.

Hal tersebut antaranya turut boleh ditelusuri dalam ketaksuban sekalangan orang Melayu dalam pengagungan individu-individu tertentu serta kelaziman mengangkat pemakaman-pemakaman tertentu sebagai keramat. Sama ada secara sedar mahupun tidak, permasalahan-permasalahan yang dikongsikan kedua-dua ilmuan yang dikemukakan merupakan antara masalah yang membayangi pemartabatan budaya Melayu. Dalam hal ini, masalahnya turut boleh ditekankan apabila gejala-gejala sedemikian disalah tafsir sebagai adat dan budaya.


Berbalik kepada wacana, menyingkap permasalan-permasalahan tersebut dalam perspektif semasa, wajarlah seandainya masyarakat Melayu dapat bermuhasabah diri akan ‘adat-adat’ yang ingin dikekalkan. Nescaya, sebarang adat, andai tidak mendatang faedah mahupun manfaat, dapatlah digugurkan dan tidak diamalkan. Mentelah pula, adat Melayu sendiri mengajarkan akan pentingnya menyelaraskan akidah dan tauhid masyarakat Melayu dengan syarak. Sesuai itu, adat Melayu menulis akan seruan, ‘adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, syarak mengata, adat memakai, iya kata syarak, iya kata adat.’
0 comments

Seni Sebagai Medium Tarbiyah


Pengenalan

Andai seni penggerak batin manusia, mampukah hal yang sama mencerna akal manusia agar dirangsang dan dijana? Demikian halnya, seni merupakan potensi besar yang dalam konteks hari ini, masih belum dicanai sepenuhnya agar dapat digunakan secara berkesan dalam menggerakkan ummah. Bahkan, dalam menyebutkan tentang seni sebagai medium penggerak batin manusia, Vygotsky (1971), ilmuan psikologi dari Rusia, menyebutkan tentang seni sebagai medium yang mampu mencetuskan respons psikologi yang mendalam.

Konsep seni menurut Islam

            Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam. Dalam sejarah Islam, kita dapat melihat akan hasil kesenian Islam yang terkandung di dalamnya nilai akhlak murni. Baik dari seni suara dalam bacaan Al-Quran dan alunan qasidah mahupun seni sastera yang menggunakan bahasa yang indah dan perasaan yang lembut. Kesenian Islam telah dipercayai telah berkembang sejak Zaman Nabi Daud A.S dan putranya Nabi Sulaiman dan terus berkembang di zaman Nabi Muhammad S.A.W dan di zaman setelah Beliau sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syara’.

            Namun begitu, tidak kesemua seni yang sedia ada dapat diterima oleh Islam. Para ulama terdahulu telah meletakkan garis panduan untuk dijadikan pengukur bagi menentukan halal atau haramnya sesuatu karya seni itu. Seni atau karya seni itu mestilah baik dan mempunyai ciri-cirinya yang khusus. Antara lain ialah tidak merosakkan budi pekerti yang mulia serta tidak melalaikan orang daripada beribadat dan mengingati Allah. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong kearah ketaqwaan, kema’rufan, kesahihan dan budi yang mantap.

Kesenian Islam di Nusantara

            Menyingkap kembali sejarah ketamadunan Islam di rantau ini, dapat kita lihat akan kesenian Islam menyerlah hingga ke hari ini. Seni tulisan jawi seperti contoh, masih lagi diperlihara di sebahagian kawasan di rantau Melayu yang berpunca dari kesusasteraan Arab dan mempunyai hubungkait rapat dengan kebudayaan Islam. Ini sesuai dengan matlamat kesenian Islam yang mengutamakan kegunaan untuk kehidupan seharian. Malah kesenian Islam tidak hanya menumpu pada manusia secara individu, tetapi ia mempunyai orientasi social dan berpaksikan kepada keperluan masyarakat.
            Masyarakat di rantau ini dapat menyaksikan bahawa seni itu dapat dijadikan sebagai alat menyebarkan agama dan memperkukuhkan amal kebajikan dan kebaikan dikalangan ummat. Hasil kesenian Islam boleh menjadi factor pendorong yang insentif bagi mengajak masyarakat dalam mengingati dan memuji Allah. Banyak contoh dapat dipelajari daripada kesenian Islam yang terdahulu di rantau ini seperti seni Gamelan dan Zapin melayu.

Gamelan sebagai Medium Tarbiyah

Tidak memeranjatkan, dalam usaha awal untuk memperkenalkan Islam ke rantau Nusantara, seni telah digunakan sebagai kenderaan bagi mendekati masyarakat. Dalam hal ini, Serat Centhini, sebuah kitab Jawa kuno menjelaskan bagaimana Sunan Kalijaga, dalam sebuah pertemuan antara kumpulan Wali Songo dan Sultan Demak sekitar abad ke-15 telah menyarankan agar masjid-masjid di Demak dilengkapkan dengan alat muzik gamelan di samping beduk yang sedia ada. Menurutnya, beduk yang sedia ada tidak mencukupi untuk menarik masyarakat Jawa pada masa tersebut untuk mendekati masjid.

Tidak menghairankan, saranannya mengundang murka daripada segenap wali-wali yang lain. Menjernihkan keadaan, beliau berhujah, “Sekiranya gamelan merupakan elemen yang tradisional dalam budaya kita, tidakkah dapat kita membaca  kalimah Allah s.w.t  dalam permainan gamelan sepertinya ucapan bismillah yang dibaca sebelum memakan daging?” Melanjutkan hujahnya, Sunan Kalijaga berpendapat bahawa masyarakat boleh membaca kalimah syahadah sebelum memasuki perkarangan masjid untuk mendengar alunan gamelan.

Secara fenomenal, lewat implementasi saranan tersebut, masyarakat Jawa mula mendekati masjid secara massal. Menariknya, setelah peristiwa tersebut, masyarakat Jawa antaranya mula menyebut kelakuan pergi ke masjid sebagai ‘melihat sahadatain’ ataupun melihat kalimah syahadah. Islam yang sebelumnya begitu jauh daripada masyarakat Jawa semakin didekati lewat penggunaan mekanisme kesenian.

Sama ada secara langsung mahupun tidak, gerakan Sunan Kalijaga sekali gus mengimbau kembali gagasan Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin yang antara lainnya menyebutkan bahawa “sesiapa yang tidak terkesan hatinya akan musim bunga, atau oleh alat muzik serta getaran nadanya, maka fitrahnya telah menghidapi penyakit yang sukar diubati”.

Zapin Melayu sebagai Medium Tarbiyah

Jelasnya, asalkan kesenian yang dimaksudkan itu tumbuh daripada nilai-nilai yang teguh keislaman dan keimanannya, perkara tersebut sekali gus akan menggerakkan kebaikan dalam naluri seseorang. Memandang pula dalam konteks yang lebih dekat dengan budaya Singapura, perihal tersebut malahan bukanlah sesuatu yang janggal mahupun asing.

Misalnya, dalam mengiringi lagu-lagu bernafas Zapin Melayu, pantun-pantun yang tersemat dengan nilai-nilai ajaran Islam telah digunakan. Memetik contoh serangkap pantun daripada lagu Anak Ayam Turun Sepuluh, pantun yang lazim mengiringi lagu-lagu zapin, “Anak Ayam turun sembilan / Mati satu tinggal delapan / Menghadap guru membaca Quran / Pakai bertudung malu dan sopan”. Menyelarikan sistem akidah Islam dengan seni yang ditonjolkan, umat Melayu-Islam secara tersirat telah didedahkan akan peri penting menjaga adab dalam berguru “supaya engkau masuk syurga / nama syurga Jannatul Makwa”.

Meneliti rujukan-rujukan yang baru disebutkan dengan lebih kritis, kedua-dua perkara jelasnya telah diatur secara strategik. Bahkan, dalam konteks strategi yang dilakarkan Sunan Kalijaga, masyarakat tempatan mula mendekati agama Islam di samping mengenali Allah s.w.t dan rasul-Nya dengan lebih proaktif. Demikian halnya, kedua-dua perkara yang disebutkan jelas sekali menggunakan budaya popular yang sedia ada untuk mendekati masyarakat.

Sedangkan Sunan Kalijaga menggunakan gamelan sebagai kenderaan utama, tidak beberapa lama kemudiannya, ilmuan-ilmuan Nusantara lainnya telah menggunakan pantun bagi melengkapi irama-irama Zapin bagi tujuan dakwah. Dalam erti kata lain, nilai-nilai mahupun syiar-syiar Islam telah mengimbuhkan kesenian sedia ada bagi merapatkan jurang antara budaya Islami dengan budaya tempatan. Hal tersebut ternyata penting agar masyarakat setempat tidak rasa terasing daripada agama Islam yang sebenarnya datang dengan rasa keamanan dan ketenteraman.

Seni sebagai Medium Tarbiyah

Melihat dalam kanta semasa, konteks hari ini mendesak para ilmuan agama, asatizah, mahupun para alim ulama’ untuk mencari langkah yang sesuai bagi masalah yang semakin meruncing, iaitu penularan virus liberalisme dalam kalangan masyarakat Nusantara. Jelas sekali, pengaruh Barat yang semakin sukar ditolak secara keseluruhannya bertindak selaku cabaran besar untuk golongan yang peka dan peduli.

Mengulas tentang hal tersebut, Ustaz TM Fouzy, dalam sebuah wawancara dengan penulis pada 21 Jun 2014, menyebutkan berkenaan usaha yang lebih kental harus dipergiatkan dalam mendekati masyarakat yang belum sedia mesra dengan Islam mahupun aktiviti-aktiviti di masjid. Menggunakan majlis-majlis maulid mahupun selawat sebagai pelantaran, beliau percaya bahawa kaedah tersebut berpotensi dalam mendekatkan budaya Islam dengan masyarakat am. Secara tidak langsung, warga majlis tersebut sekali gus ditarbiyahkan secara halus dan tersirat, namun berseni.

Jelasnya, lewat alunan selawat dan qasidah dalam bentuk irama yang mudah digarap hawa telinga mahupun roh masyarakat, majlis-majlis tersebut menyelarikan dentuman jiwa mereka dengan zikir-zikir munajat bagi memuji Allah s.w.t. Menjelaskan hujahnya, sedangkan Ustaz TM Fouzy akur bahawa berdakwah adalah satu tanggungjawab yang berpanjangan, beliau berlega hati melihat kesenangan masyarakat hari ini, khususnya golongan belia, dalam mendekati masjid.  

Penutup

Menggunakan seni sebagai penggerak dakwah, contoh-contoh di atas menggalakkan penglibatan langsung ummah dalam dakwah yang dikendalikan. Nescaya, seni yang baik adalah seni yang berupaya untuk mendapatkan tindak balas langsung daripada masyarakat di samping mengejutkan ummah daripada buaian hidup. Menyimpulkan mauduk, andai ungkapan Vygotsky dijadikan sandaran, kesemua contoh-contoh di atas jelas sekali merupakan contoh unggul dalam menegaskan keupayaan seni untuk dijadikan medium tarbiyah demi penyemarakkan usaha dakwah.

Menceduk pula daripada pengalaman Sunan Kalijaga dalam cabaran pendakwahannya yang mengundang murka dan kritikan wali-wali sezamannya, moleklah andai segenap ilmuan agama, asatizah, mahupun para alim ulama’ dapat berganding bahu dalam memuliakan keindahan dalam berdakwah di samping berjabat tangan antara usaha satu sama lain. Moganya, lewat tindakan-tindakan sedemikian, perihal tersebut sekali gus memanifestasikan sabda Rasullulah s.a.w di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a:

وعن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقالُ ذرة من كبر. قال رجل: إن الرجل يحب أن يكون ثوبه حسناً ونعله حسناً. قال: إن الله جميلٌ يحب الجمال ، الكبر بطر الحق وغمط الناس. رواه مسلم.

“Tidak akan masuk surga orang yang dalam hatinya ada kesombongan seberat biji debu”. Ada seorang yang bertanya: Sesungguhnya setiap orang suka (memakai) baju yang indah, dan alas kaki yang bagus, (apakah ini termasuk sombong?). Rasulullah shallalahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah Maha Indah dan mencintai keindahan, kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain”.[1]





[1] HR Muslim : No. 91

** Dipetik daripada Majalah Ar-Risalah, Isu ke-15, terbitan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura
0 comments

Kemenyan : Ilmu Aromaterapi Orang Melayu



"..segenap amalan tradisional langsung dianggap mereka sebagai khurafat. Femonena tersebut, biarpun kadangkala benar, tidak selalunya tepat."

    Sistem kepercayaan masyarakat Melayu merupakan sebuah perkara yang kompleks.Bahkan, sukar untuk dibincangkan tentangnya tanpa pengetahuan asas tentang sejarah kepercayaan masyarakat Melayu. Namun, teras pada usaha memahami rangka sistem tersebut haruslah bermula dengan menilai sistem agama yang telah mempengaruhi orang Melayu.

    Secara ringkas, manusia Melayu telah melalui beberapa fasa kerohanian, yakni daripada zaman animisme sehinggalah zaman Islam pada hari ini. Meski demikian, Islam dipercayai paling banyak memberikan kesan terhadap kehidupan masyarakat Melayu. Lewat kedatangan agama baharu itu, masyarakat Melayu cuba untuk menjadi hamba yang taat pada agama itu. Dalam proses tersebut, imej Melayu tradisional dianggapnya sebagai berada dalam zaman jahilliyah.

    Teori tersebut sebenarnya tercemar dengan beberapa kelemahan. Antaranya termasuklah hakikat bahawa biarpun Islam merupakan agama yang baharu bagi orang Melayu, terdapat pelbagai konsep dalam ilmu agama Islam yang sedia hadir sejak zaman awal lagi. Ini langsung berbeza dengan keadaan bagi masyarakat Arab kuno. Misalnya, konsep-konsep seperti syurga dan neraka, serta tuhan dan manusia sudahpun sedia hadir dalam rangka pemikiran orang Melayu. Dalam erti kata lain, Islam sekadar mengimbuhkan budaya Melayu serta mengindahkannya dalam proses tersebut.

    Sayang sekali, hal tersebut tidak difahami segelintir anggota masyarakat Melayu. Dalam hal ini, segenap amalan tradisional langsung dianggap mereka sebagai khurafat. Femonena tersebut, biarpun kadangkala benar, tidak selalunya tepat.

    Antara ilmu Melayu tradisional yang sering dianggap sebagai khurafat termasuklah amalan membakar kemenyan. Ironinya, sedangkan masyarakat segelintir masyarakat Melayu menanggapnya sebagai bertentangan dengan ajaran Islam, segelintir ahli budaya Melayu yang tegar pula menyifatkannya sebagai simbol semata. Tanpa mereka sedari, kedua-dua hujah tersebut sebenarnya silap.

    Adat membakar wangian sebenarnya telahpun hadir dalam rangka budaya masyarakat Arab Islam sejak zaman dahulu lagi. Para ulama bahkan sepakat bahawa amalan tersebut tidak berunsur syirik. Demikian pula, pembakaran kemenyan dalam ruang budaya orang Melayu sebenarnya mempunyai nilai-nilai pragmatik dan bukannya spiritual semata.

    Dalam konteks ilmu sains moden, fenomena membakar kemenyan sebenarnya merupakan ilmu aromaterapi bagi orang Melayu. Selain bertindak sebagai bahan pewangi, asap kemenyan turut berguna bagi merawat pelbagai khazanah yang dahulunya disimpan secara tradisional. Pendeknya, iklim daerah Melayu yang sering hujan pastinya menyukarkan proses menyimpan beberapa khazanah. Antaranya termasuklah khazanah-khazanah tekstil dan senjata. Jelasnya, cuaca daerah Melayu yang lazimnya lembap membuat barangan tekstil mudah rapuh sedangkan harta besi mudah karat.


    Lantaran itu, secara tradisionalnya, asap kemenyan digunakan dalam proses merawat barangan-barangan tersebut. Secara saintifiknya, apabila asap daripada kemenyan sengaja dikenakan dengan barangan tersebut, asap tersebut akan membentuk lapisan khusus atas permukaan bahan. Hasilnya, barangan tersebut akan terawat dan dapat bertahan lama di samping berbau harum dan membunuh kuman dan cendawan.

    Perihal yang sama malah berlaku apabila tubuh seseorang dikenakan dengan asap kemenyan. Kajian saintifik oleh ahli-ahli aromaterapi dunia mendedahkan bahawa kemenyan dapat mengekalkan awet muda seseorang di samping merawat luka-luka kecil. Bagi memudahkan penggunaannya, kemenyan Melayu ataupun benzoin kian dijadikan dalam bentuk minyak. Hasil daripada pelbagai kajian pula, minyak kemenyan digunakan bagi mengubati batuk dan selsema.

    Walau bagaimanapun, dalam konteks perubatan, masalahnya mula hadir apabila mantera-mantera tertentu mula dimasukkan dalam budaya penggunaan kemenyan. Sedangkan penggunaan kemenyan semata sebenarnya kian terbukti secara saintifk, akal Melayu yang cenderung terhadap alam kerohanian gemar memasukkan unsur-unsur berbaur mistik. Apatah lagi, amalan tersebut sudah bertapak sekian lama dalam adat Melayu yang secara puratanya dianggap jahil. Berkenaan ini, haruslah difahamkan bahawa terdapat kecenderungan dalam mana-mana adat dunia sekalipun untuk menyatukan tradisi ilmu mereka dengan amalan-amalan tertentu. Hal yang sama malah turut hadir dalam konsep orang Melayu.

    Dinihari, perkembangan ilmu saintifik berkenaan kemenyan pastinya memeranjatkan ramai daripada ahli masyarakat Melayu. Sedangkan kemenyan Melayu sememangnya berasal dari rantau ini, kajian berkenaan bahan tersebut malah lebih giat dilakukan oleh masyarakat asing. Lebih aneh lagi, ilmu yang didatangkan oleh masyarakat luar seolah-olah dianggap sebagai eksotik dan saintifik sedangkan ilmu-ilmu tempatan dianggap sebagai syirik dan khurafat.

    Dalam konteks semasa, masalah kurang percaya diri terhadap kepandaian sendiri mendedahkan betapa perlunya masyarakat Melayu untuk menilai semula akal kebijaksanaan tempatan. Jelas sekali, haruslah disedari bahawa manusia Melayu bukan sahaja merujuk pada bangsa semata dan malah turut merupakan sebuah tamadun dunia yang tinggi nilai dan maruah.


0 comments

Antara Quran dan Sunnah


"Kita hanya mengikuti Quran dan sunnah semata." 

Pengenalan

"Kita hanya mengikuti Quran dan sunnah semata." Laungan ini barangkali tidak lagi janggal bagi deria telinga kita pada hari ini. Tatkala diminta penjelasan, ada dalam kalangan rakan-rakan yang mengungkapkan bahawa Quran dan sunnah semata sudahpun mencukupi dan kita mempunyai hak dan keupayaan untuk memahami kitab Al-Quran lewat teks-teks terjemahan. Sayangnya, dalam mengungkapkan perihal tersebut, pandangan tadi seolah-olah membelakangkan peranan ulama dalam agama kita. 
Demikian halnya, barangkali wajar untuk kita membincangkan pendapat tersebut dari sudut fiqh. Artikel ini antara lainnya akan meneliti pendapat segelintir ahli masyarakat yang menggagaskan bahawa mereka hanya perlu mengikut Quran dan sunnah semata. Tanpa disedari, pendapat yang dikemukakan menunjukkan betapa daifnya individu tersebut terhadap proses tafsiran dan pemahaman Quran dan hadith.
Fahami bagaimana para ulama mencapai kefahaman terhadap Quran dan hadith
Quran dan hadith merupakan sumber-sumber utama dalam mendekati Islam. Walau bagaimanapun, sedangkan Quran diturunkan secara langsung oleh Allah swt, hadith telah diperkenalkan kepada masyarakat am lewat ungkapan mahupun tindak-tanduk Rasullulah s.a.w. Seiring itu, kedua-dua perkara lazimnya dikenali masyarakat hari ini dalam bentuk aksara tulisan. Demikian halnya, khazanah tulisan-tulisan tersebutlah yang menjadi tumpuan para ulama dan sarjana dalam mentafsirkan apa yang disampaikan Allah s.w.t kepada masyarakat hari ini. Hal ini selaras dengan istilah 'fiqh' yang bererti 'kefahaman yang mendalam'. Ibnu Khaldun menerangkan fiqh sebagai ilmu akan peraturan Tuhan yang melibatkan tindak-tanduk seseorang dalam mematuhi peraturan tersebut, yakni lewat pengenalan akan perkara-perkara wajib, haram, mustahab, makruh, dan mubah.
Kefahaman Sehala
Dalam beberapa hal yang menyentuh akan perihal ad-deen ataupun agama, terdapat Ijmā’ yang jelas antara para ulama. Dalam erti kata yang lain, seluruh masyarakat ulama pasti bahawa kefahaman mereka terhadap sebarang isu selaras dengan apa yang diinginkan Allah s.w.t. Hal tersebut mungkin berekor daripada dua situasi utama, yakni :
  • Sumber-sumber utama jelas dalam apa yang dimaksudkan. Contohnya termasuklah dalam kefahaman bahawa Tuhan itu satu serta kefardhuan lima waktu solat.
  • Sumber-sumber utama tidak jelas dalam apa yang dimaksudkan. Namun demikian, pendapat yang muktabar telahpun dicapai dan diterima pakai. 
Kefahaman Bercambah
Walau bagaimanapun, kebanyakan isu mempunyai tafsiran yang pelbagai dalam kalangan ulama. Antaranya, hal tersebut bertitik tolak daripada :
  • Sedangkan sumber bagi sebarang fatwa mahupun hukum itu jelas, pemahaman terhadap hadith itu mungkin pelbagai. 
  • Terdapat pertikaian akan kaitan sumber yang digunakan dengan isu yang dikemukakan. Hal ini mungkin terjadi akibat daripada perdebatan akan kesahihan sumber tersebut atau sama ada sumber yang digunakan dapat digunakan sebagai sandaran bagi isu-isu yang dikemukakan. 
Tiada Ijmak yang Jelas
Dalam seseparuh hal, para ulama tidak pasti secara mutlak sama ada fatwa mahupun pendapat mereka selari dengan keinginan Allah s.w.t. Ini mungkin berpangkalan daripada perihal demikian :
  • Kesemua pendapat para ulama bersandarkan ijtihad yang boleh diterima.
  • Sumber-sumber utama yang dikemukakan tidak jelas, sekali gus melahirkan kefahaman bahawa Allah s.w.t sengaja menzahirkan ayat-ayat Quran dalam keadaan tidak selapis.
Sebagai kesepakatan dalam kalangan ulama, seorang ulama tidak boleh menjatuhkan ulama lain atas ijtihadnya yang boleh diterima. Demikian halnya, ijtihad seorang ulama tidak menjadi kurang sahih dengan kehadiran ijtihad ulama lain. Jelasnya, khilaf sedemikian pastinya sentiasa hadir memandangkan tiadanya wahyu baharu yang dapat dikongsikan kepada ummah selepas kewafatan Rasullulah s.a.w.
Permasalahan Utama dalam Perbincangan
1. Persepsi Simplistik
Ilmu tafsir akan Quran dan Hadith lazimnya lebih dinamik daripada yang dilihat. Atas dasar tersebut, adalah lebih molek bagi ummah untuk menyandarkan amalan mereka terhadap pendapat yang jelas dan muktabar. Keempat-empat mazhab utama dalam Islam mengakuri bahawa tafsiran mereka berdasarkan kefahaman sehala terhadap isu-isu tertentu. Namun jelasnya, kefahaman tersebut berdasarkan nas dan dalil yang jelas. Demikian halnya, lebih membimbangkan adalah apabila terdapat individu yang hanya mengaku sebagai mengikut petunjuk Quran dan sunnah tanpa bimbingan yang terarah. 
2. Keyakinan yang Tidak Berasas
Adalah tidak mungkin bagi seseorang, sama ada ulama atau bukan, untuk menyatakan bahawa beliau telah mencapai kefahaman mutlak terhadap perkara-perkara yang tidak jelas dalam Quran mahupun hadith. Pendapat tersebut jelasnya hanya membentuk satu daripada spektrum yang berlapis akan sebarang tafsiran. Ikutan itu, adalah penting untuk memahami metodologi yang digunakan bagi mencapai sebarang tafsiran. 
3. Sumber Kedua dan Ketiga
Salah satu masalah yang turut semakin ketara dalam masyarakat adalah pendapat bahawa segala perkara haruslah mempunyai rujukan yang jelas daripada Quran dan sunnah. Sayangnya, perkara tersebut membelakangkan tradisi keilmuan Islam yang mengambil kira konsep ijma' ulama dan kias. Perihal tersebut sayangnya turut tidak mengakuri maqasid mahupun kaedah teologi yang jelas dalam sistem shariah.
Penutup
Masyarakat hari ini berhadapan dengan landskap dan cabaran yang berbeza. Demikian halnya, adalah membimbangkan apabila masyarakat Islam kontemporari cenderung untuk melayari internet demi mencari ilmu agama yang 'benar'. Tanpa mereka sedari, mereka telah menyumbang terhadap gejala kesempitan pendapat bagi masyarakat. Mereka seolah-olah berpendapat bahawa ulama-ulama di Youtube mahupun lelaman sesawang lain lebih muktabar atau mujtahid berbanding ulama-ulama lain. Kesannya, ummah Islam berbalah antara satu sama lain.
Bagi mengatasi perkara tersebut, adalah wajar andai ditanyakan kepada ulama-ulama rujukan mereka sama ada terdapat sebarang pendapat lain akan perkara yang dibincangkan serta permasalahan pokok yang melahirkan perbezaan pendapat itu. Selain itu, mereka turut boleh bertanya kepada ulama yang mempunyai pendirian yang berbeza bagi memastikan pemahaman mereka tidak berat sebelah. Wallahualam.
0 comments
 
Support : Copyright © 2015. Pelita Kalam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger