Featured Post Today
print this page
Latest Post

Bir Ali



Sekilas Sejarah

- Bir Ali turut dikenali sebagai Miqat Dzul Hulaifah, Masjidil Ihram dan Masjidil Miqat dan Masjid Syajarah. Bir walau bagaimanapun secara ringkasnya bererti sumur ataupun perigi.

- Nama tersebut diambil bersempenakan Sayidina Ali bin Abi Talib r.a. yang banyak menggali perigi di tempat tersebut. Namun, kesemua bekas-bekas galian tidak dapat dilihat lagi.

- Diriwayatkan bahawa Rasullulah s.a.w selalu bermiqat di masjid situ. Dalam hal ini, biarpun Bir Ali hanya sekitar 11km jauh daripada bandar Madinah, miqat tersebut berada sekitar 450km dari Mekah.

Bir 'Ali dilengkapi dengan 512 tandas dan 566 bilik mandi.

- Masjid Bir Ali telah beberapa kali diubah suai. Masjid yang kini dilihat awalnya jauh lebih kecil dan sederhana, namun kian diubah suai bagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.
0 comments

Khandaq


Sekilas Sejarah

- Masjid dan benteng Khandaq merupakan peninggalan daripada perang Khandaq (perang Ahzab) yang secara harfiahnya dapat diterjemahkan sebagai 'Perang Parit'.
- Peperangan tersebut dinamakan sedemikian bersempenakan cadangan Salman Al-Farisi r.a yang telah mengemukakan cadangan untuk mengelilingi kawasan kubu Islam dengan sebuah parit yang besar. 
- Strategi sedemikian diperlukan memandangkan Islam sedang berhadapan dengan jumlah tentera yang  paling besar dalam peperangan waktu itu, yakni sekitar 10,000 orang dari Bani Nadhir, Kaum Badui Ghatafan, dan Quraisy.
- Saat ini bekas-bekas peninggalan perang Khandaq yang ada hanyalah lima buah masjid. Masjid di tempat itu sekarang dikenal dengan nama Masjid Sab’ah (Masjid Tujuh) atau Masjid Khamsah.

- Masjid Al-Sab'ah (Masjid Tujuh) terletak di kawasan Jabal Sila' yang terletak di sebelah barat laut Madinah. Walaupun dikenali dengan nama Masjid Tujuh, hanya sebuah masjid sahaja yang berfungsi di kawasan itu, iaitu Masjid al-Fatah.

- Masjid tersebut dinamakan sedemikian bersempenakan sahabat Rasullulah s.a.w yang memaklumkannya akan khabar gembira berkenaan Bani Qurayzah Yahudi. Baginda bersabda yang bermaksud: "Bergembiralah dengan al-Fath (pembukaan kota-kota) dan al-Nasr (kemenangan) daripada Allah."

- Pada tahun 627 M, apabila Quraisy dan sekutu mereka mengepung Madinah dalam Perang Khandaq, Bani Quraizah melanggar perjanjian mereka dengan orang Islam dan berkomplot dengan pihak Quraisy untuk mengkhianati tentera Islam. Ikutan itu, kaum Quraizah dikepung oleh orang Islam. Bani Quraizah akhirnya dikalahkan dalam pengepungan itu dan menyerah diri. 

- Diriwayatkan ketika tentera muslimin berada dalam keadaan tertekan akibat dikepung tentera Ahzab serta berhadapan dengan 'gunting dalam selimut, Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat dan berdoa di situ selama tiga hari berturut iaitu pada hari Isnin, Selasa dan Rabu.

- Antara yang dipohon Rasulullah SAW ke hadrat Allah ialah: "Ya Allah! Tuhan yang menurunkan kitab dan Tuhan yang menggerakkan awan, kalahkanlah mereka dan berilah pertolongan kepada kami untuk menghancurkan mereka."

- Permohonan doa Rasulullah SAW diperkenankan Allah pada hari Rabu. Pada malamnya, Allah menghantarkan angin kencang yang memusnahkan khemah dan peralatan tentera al-Ahzab. Keadaan itu memaksa pihak lawan menyerah kalah dan segera berundur pulang ke tempat masing-masing.

- Selain Masjid Al-Fatah, antara masjid-masjid lain yang dibina di daerah yang sama merupakan Masjid Saidina Umar al-Khattab, Masjid Abu Bakar, Masjid Utsman, Masjid Saidina Ali ibn Abi Talib, Masjid Salman al-Farisi, Masjid Saidatina Fatimah al-Zahra'.

Peristiwa Perang Khandaq/Ahzab

- Perang Khandaq terjadi pada bulan Syawal, 5 Hijriyah serta turut dikenali sebagai Perang Ahzab.

- Peperangan tersebut antaranya menyaksikan penggunaan strategi yang tidak pernah digunakan oleh tentera Islam dalam kaedah peperangan sebelumnya. Idea tersebut merupakan hasil perbincangan sebuah majlis syura serta disuarakan Salman Al-Farisi.

- Sebelum serangan dimulai, Rasulullah s.a.w bersama barisan tentera Muslim yang lainnya menggali parit bersama-sama. Setiap 10 orang kaum Muslimin harus menggali parit sepanjang 40 meter. Hasilnya, secara usaha sama, umat muslim mengambil masa 10 hari untuk menggali parit sepanjang 5.5 km, berukuran lebar 4.6 meter dan kedalaman lebih 3 meter.

- Parit tersebut memanjang dari utara ke selatan dan menjadikan Jabal as-Sila’ sebagai benteng pertahanan. 


- Saat peperangan tersebut terjadi, tidak ada satupun pasukan berkuda kaum Quraisy yang mampu melewati parit tersebut kerana  saiznya yang lebar dan dalam. 

- Dek strategi yang digunakan, hanya pasukan pemanah sahaja yang dapat digunakan secara efektif. Sementara itu, perang tersebut turut menyaksikan perlawanan satu lawan satu Ali bin Abi Talib dengan Amr bin Abdu Wudd.

- Hanya enam orang Muslim yang menjadi syuhada dalam peperangan tersebut manakala tentera lawan kehilangan 12 orang.


0 comments

Jabal Uhud



Sekilas Sejarah 


- Gunung Uhud dapat diterjemahkan secara harfiah sebagai 'Gunung Tunggal'. Hal ini disebabkan gunung tersebut berdiri secara terasing daripada gunung-gunung lain.


Gunung Uhud terbentuk dari batu granit warna merah sepanjang tujuh kilometer dan mempunyai kelebaran hampir tiga kilometer. Gunung ini adalah gunung terbesar dan tertinggi di Madinah. Di kaki gunung, bahagian selatan terdapat pemakaman para syuhada daripada peperangan Uhud. Salah satu daripada sahabat yang telah dimakamkan di situ adalah Hamzah bin Abdul Muthalib, iaitu pakcik dan adik beradik susuan Nabi Muhammad s.a.w.


- Gunung Uhud berdiri di sebelah utara Madinah.


- Gunung tersebut menjadi saksi terhadap peristiwa perang Uhud, yakni perang kedua antara golongan Muslim dan Mekah Jahilliyah. Peperangan tersebut telah mengambil tempat pada 7 Syawal 3 Hijrah. 


Peristiwa Perang Uhud

- Perang Uhud berlaku sebagai serang balas tentera Mekah yang tidak berpuas hati atas kekalahan mereka dalam peperangan sebelumnya, yakni Perang Badar.

- Mekah telah mengumpulkan seramai 3000 prajurit untuk menentang tentera Islam yang hanya mempunyai sekitar 1000 orang.

- Tentera Mekah telah memilih untuk bertempur di Gunung Uhud bagi mengelakkan diri mereka terpaksa berhadapan dengan benteng pertahanan yang lebih kuat di kota Madinah.
- Tentera Islam pada awalnya menguasai peperangan dan berjaya menawan beberapa kem peperangan golongan Mekah. Sayangnya walau bagaimanapun, sikap tamak haloba mula menguasai sebahagian daripada tentera Islam yang meninggalkan tempat mereka untuk meraih harta peperangan dari kem-kem Mekah. 
- Perihal tersebut kemudiannya dikuasai semula oleh tentera berkuda Mekah yang dikepalai Khalid ibn Walid r.a yang pada waktu tersebut belum memeluk agama Islam. Ramai tentera Islam yang syahid. Rasullulah s.a.w sendiri cedera parah. Tentera Islam kemudiannya undur menaiki gunung Uhud sementara tentera Mekah pulang ke Mekah sambil meraih kemenangan.
0 comments

Jabal Tsur


Sekilas Sejarah

- Jabal Tsur dapat diterjemahkan secara harfiah sebagai Gunung Kerbau. Gunung Tsur mendapat nama tersebut atas dasar bentuknya yang seperti tubuh kerbau.

- Jabal Tsur menempatkan sebuah Gua yang telah dijadikan perlindungan buat Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar r.a dari kaum Quraisy sewaktu Rasullulah s.a.w berhijrah ke Madinah. Kaum Quraisy walau bagaimanapun bertekad untuk menghalang Rasullulah s.a.w daripada mencemar nama mereka dan menyebarkan Islam ke luar Makkah, lantaran cuba untuk membunuh Baginda.

- Terdesak, Rasullulah s.a.w dan Abu Bakar r.a memasuki Gua Tsur atas petunjuk Malaikat Jibril a.s. Mereka telah bermalam di sana selama tiga hari tiga malam.

Peristiwa Persembunyian di Gua Tsur

- Kaum Musyrikin Quraisy telah merancang untuk membunuh Rasullulah s.a.w pada waktu Malam. Mereka khuatir sekiranya Rasullulah s.a.w akan ke Madinah dan menjejas hubungan mereka dengan masyarakat Arab lainnya selain memberi kesan buruk terhadap perdagangan mereka dengan Syams.

- Rasullulah s.a.w pada waktu itu masih lagi menetap di Mekah sedangkan segenap umat Islam telahpun keluar daripada bandar Mekah. Baginda telah menangguh penghijrahannya sambil menantikan wahyu daripada Tuhan untuk berhijrah. Sejurus selepas menerima wahyu, Baginda telah ke rumah Abu Bakar r.a yang telahpun awalnya mempersiapkan diri untuk penghijrahan tersebut. Baginda telah memilih untuk menggunakan jalan di luar kebiasaan Baginda di samping berangkat pada waktu yang serupa.

- Pada malam itu, sekumpulan pemuda Quraisy telah mengepung rumah Rasullulah s.a.w untuk memastikan Baginda tidak dapat melarikan diri. Baginda sebaliknya telah mengarahkan kepada Saidina Ali r.a untuk mengambil tempatnya dan tidur di atas katilnya sambil mengenakan jubah (mantle) hijaunya.

- Pemuda-pemuda Quraisy yang mengepung rumah Rasullulah s.a.w terpedaya dan tidak menyedari bahawa Rasullulah s.a.w sudahpun keluar menuju ke rumah Abu Bakr r.a. Mereka kemudiannya telah berjalan menuju ke gua Tsur.

- Persembunyian mereka di gua Tsur hanya diketahui Abdullah b. Abu Bakr, Aisyah, Asma dan pembantu mereka 'Amir b. Fuhaira r.a.

- Sementara itu, pihak Quraisy sedang bersungguh-sungguh dalam mencari Rasullulah s.a.w. Rasullulah s.a.w redha dan pasrah akan masa hadapannya dan meletakkan segala nasib dan harapannya kepada Allah swt sementara Abu Bakar r.a memasang telinga untuk berjaga-jaga akan sebarang ancaman.

- Gunung Tsur sewaktu itu sudahpun sedia dikerumuni para pemuda Quraisy yang berusaha untuk mencari Rasullulah s.a.w. Bahkan, mereka telahpun diberikan petunjuk oleh seorang penggembala yang menyatakan kemungkinan Rasullulah s.a.w dan Abu Bakar r.a berada di dalam gua Tsur.

- Namun, gua tersebut telahpun dilindungi sarang labah-labah di muka pintu gua serta dua ekor burung di lubang dua tersebut. Quraisy daripada itu meyakini kemungkinan bahawa gua tersebut tidak berpenghuni.

- Meskipun dalam hal demikian, Rasullulah s.a.w masih bersungguh-sungguh dalam berdoa sedangkan Abu Bakar r.a. kian ketakutan. Rasullulah s.a.w sekadar berbisik di telinganya, "Janganlah bersedih. Tuhan bersama kita."

- Dalam riwayat yang berasingan pula, Abu Bakar r.a. terasa seolah-olah persembunyian mereka pasti diketahui golongan Quraisy. Beliau yakin bahawa persembunyian mereka pasti akan diketahui seandainya golongan Quraisy memandang ke bawah. Rasullulah s.a.w walau bagaimanapun menjawab, "Bagaimanakah kau boleh merasa gelisah dengan diri kita berdua sedangkan yang ketiga itu Allah?"

- Peristiwa pertolongan Allah SWT serta persembunyian Rasulullah Muhammad SAW dan Abu Bakar di Gua Tsur diabadikan melalui firmah Allah SWT dalam Surat At-Taubah ayat 40. Ayat itu berbunyi:

{إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ} [التوبة: 40]

”Bila kamu tidak mau menolong Rasul, maka Allah SWT telah menjamin menolongnya ketika orang-orang kafir mengusirnya berdua dengan sahabatnya. Ketika keduanya berada dalam gua, dia berkata kepada sahabatnya: ”Janganlah engkau berduka cita, karena Allah SWT bersama kita.” Lalu Allah SWT menurunkan ketenangan hati (kepada Muhammad) dan membantu-nya dengan pasukan-pasukan yang tiada tampak olehmu. Dijadikan-Nya kepercayaan orang-orang kafir paling rendah dan agama Allah SWT menduduki tempat teratas. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS At-Taubah / 40)














0 comments

Jabal Rahmah (Arafah)


Sekilas Sejarah

- Jabal Rahmah terletak di tepi padang Arafah, yakni tempat para jemaah Haji melakukah ibadah wukuf pada tanggal 9 Dzulhijjah.

- Merupakan tempat bertemunya Nabi Adam a.s dan Hawa. Tugu putih di atas bukit merupakan tanda peringatan bagi titik pertemuan mereka.

- 'Rahmah' secara harfiahnya bererti 'kasih sayang' serta dinamakan bersempena kisah yang masyhur dalam kalangan umat Islam, yakni pertemuan antara Nabi Adam a.s dan Hawa yang telah berpisah tatkala dicampakkan ke bumi.

- Paras ketinggiannya sebanyak 70 meter dan harus didaki lewat batu-batuan yang tidak tersusun.

- Tempat Rasullulah s.a.w menerima wahyu terakhirnya sebagai tanda lengkapnya agama Islam, yakni "الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمْ فَلاَ تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الأِسْلاَمَ دِيناً" (Surah Al-Maaidah, ayat 3)

(Alyawma ya-isa allathena kafaroo min deenikum fala takhshaw-hum waikhshawnil yawma akmaltu lakum deenakum waatmamtu 'aalaykum ni'matee waradeetu lakumu alislama deenan)

“Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu”

Kelebihan 

- Tidak terdapat sebarang tuntutan khusus untuk menaiki Jabal Rahmah sebagaimana amalan Rasullulah s.a.w yang sendiri tidak berwukuf di atas puncak Jabal Rahmah. 

- Tidak diriwayatkan sebarang kelebihan khusus dalam beribadah di Jabal Rahmah.

0 comments

Masjid Qiblatayn


Sekilas Sejarah

- Masjid Qiblatayn telah dibina oleh Bani Sawad bin Ghanam bin Ka'b dari Bani Salama dari suku Al-Khazraj. Masjid ini merupakan antara tiga masjid terawal yang telah dibina pada zaman Rasullulah s.a.w. 

- Diriwayatkan, Bani Salama telah memohon kepada Rasullulah s.a.w untuk menempatkan diri mereka berdekatan dengan Masjid Nabawi, namun Rasullulah s.a.w kemudiannya mengarahkan, "Ya Bani Salam, tetaplah di rumahmu! Nescaya kesanmu bakal terasa."

- Genap pada 15 Syaaban, dua tahun selepas Hijrah, Rasullulah s.a.w menerima wahyu untuk mengalih kiblat daripada menghadap Masjidul Aqsa ke Makkah Al-Mukarammah.

- Pada waktu tersebut, Rasullulah s.a.w sedang mengimamkan solat zuhur. Sejurus selepas menyempurnakan dua rakaat, Baginda menerima wahyu untuk mengalihkan pandangan kiblatnya ke arah Makkah.


Kelebihan Masjid Qiblatayn

- Tidak diriwayatkan sebarang kelebihan khusus dalam beribadah di masjid tersebut. 
0 comments

Masjid Quba


Sekilas Sejarah

- Masjid Quba merupakan masjid tertua di dunia yang telah dibina oleh Rasullulah s.a.w.

- Diriwayatkan oleh Ibn al-Qayyim r.a dlm kitab Zaad al-Ma'aad, Rasullulah s.a.w telah disambut mesra tatkala tiba di Madinah. Menurutnya, "Kaum muslimin melaungkan takbir, bergembira atas ketibaan Baginda dan telah keluar untuk bertemu dengannya. Rasullulah s.a.w bagaimanapun meneruskan perjalanannya dan hanya berhenti di Quba', antara masyarakat Bani 'Amr ibn 'Awf dan menetap bersama mereka selama 14 hari. Baginda kemudiannya membangunkan masjid Quba', yakni masjid pertama yang dibangunkannya selepas menjadi Rasullulah."

- Bersangkutan itu, sementara Masjidil Haram merupakan masjid pertama yang dibina untuk seluruh umat manusia oleh Nabi Ibrahim a.s, masjid Quba' dibina secara khususnya oleh masyarakat Muslimin bersama Rasullulah s.a.w.

- Rasullulah s.a.w telah menghabis masanya selama 14 hari di masjid tersebut untuk mengerjakan solat Qasr' sambil menunggu Ali r.a untuk tiba ke Madinah.

- Masjid tersebut telah melalui beberapa perubahan utama sehinggakan bentuk asal masjid tersebut tidak lagi kelihatan. Antaranya, masjid tersebut telah diperbaiki oleh Saidina Uthman ibn Affan serta Umar ibn Abdul Aziz. Masjid tersebut terakhir sekali diperbaiki pada tahun 1406H (1985). 

Kelebihan Masjid Quba

Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa Ibn 'Umar r.a melaporkan, "Rasullulah (s.a.w) sering ke Masjid Quba' pada setiap hari sabtu, sama ada dengan berjalan atau menunggang."

Imam Muslim walau bagaimanapun menambah, "Rasullulah (s.a.w) sering ke Masjid Quba' pada setiap hari sabtu, sama ada dengan berjalan atau menunggang dan mengerjakan solat dua rakaat."

Sementara itu, dalam Sahih Al-Tirmidhi, dilaporkan daripada Usayd ibn Zuhayr Al-Ansari, yakni salah seorang daripada sahabat Rasullulah (s.a.w) bahawa Rasullulah (s.a.w) bersabda, "Solat di Masjid Quba' sama seperti Umrah".

Hadith yang seiras turut telah dilaporkan dalam Sahih An-Nasaa'i. Menurut Imam An-Nasaa'i, "dilaporkan oleh Sahl ibn Hunayf bahawa Rasullulah (s.a.w) bersabda : Siapa yang keluar menuju ke masjid ini, masjid Quba' dan solat di dalamnya akan mendapat ganjaran pahala seperti umrah."

Sementara itu, menurut hadith yang diriwayatkan Ahmad ibn' Hanbal, An-Nasa'i, ibn Majah dan Hakim Al-Nishaburi, "Sesiapa yang mengambil wudhu di rumahnya lalu keluar solat di Masjid Quba akan mendapat ganjaran pahala seperti Umrah."



0 comments
 
Support : Copyright © 2015. Pelita Kalam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger