Featured Post Today
print this page
Latest Post

Masjid Al-Aqsa (Ruang Bawah


Sekilas Sejarah

- Ruang bawah Masjid Al-Aqsa menampilkan tiang-tiang teras batu yang dipercayai telah dibangunkan pekerja-pekerja jinn pada zaman Nabi Sulaiman a.s. Hal ini antaranya dapat dijelaskan dalam Surah Saba' (34:12-13) :

"Dan sebagian dari jin ada yang bekerja di hadapannya (di bawah kekuasaannya) dengan izin Tuhannya. Dan barang siapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala. Mereka (para jin itu) bekerja untuk Sulaiman sesuai dengan apa yang dikehendakinya di antaranya (membuat) gedung-gedung yang tinggi, patung-patung, piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah wahai keluarga Dawud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur."

- Ruang bawah Masjid Al-Aqsa turut mengemukakan sebuah bilik yang menempatkan geriji di lantai. Geriji tersebut menempatkan minyak yang digunakan untuk memanaskan masjid. Menurut sebuah riwayat: 

Maymunah binte Sa'd r.a bertanya kepada Rasullulah s.a.w. "Ya Rasullulah (s.a.w)! Beritahulah kami tentang Baitul Maqdis". Baginda menjawab, "Datanglah ke sana untuk mengerjakan solat". Maymunah r.a kemudiannya bertanya, "Andai tidak mampu kami melawatinya, apakah yang dapat dibuat?" Baginda s.a.w bersabda, "Andai tidak dapat kamu ke sana untuk mengerjakan solat, lantas hantarlah minyak untuk menyalakan pelita-pelitanya, sesiapa yang memberikan minyak bagi pelita-pelitanya, adalah seperti beliau telah bersembahyang di dalamnya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Ibn Majah, Sunan Abu Dawud dan At-Tabarani)
0 comments

Masjid Al-Aqsa







Sekilas Sejarah
- Bangunan asal merupakan sebuah masjid kayu yang dibina oleh Saidina Umar Al-Khatab r.a. pada tahun 638.

- Masjid tersebut walau bagaimanapun telah digantikan oleh Khalifah Abdul Malik ibn Marwan dan anaknya Al Walid ibn Abdul Malik pada tahun 705.

- Masjid ini sering dikelirukan dengan seluruh kawasan Al-Aqsa.

- Menurut Abu Dharr r.a sewaktu beliau bertanyakan kepada Rasullulah s.a.w :

" Ya Rasullulah. Apakah masjid pertama yang dibuat di dunia?" Rasullulah s.a.w menjawab, "Makkah Al-Mukarammah." Abu Dharr r.a kemudian bertanya, "Apakah seterusnya?" Rasullulah s.a.w menjawab, "Masjidil Aqsa". Abu Dharr r.a kemudian bertanya, "Berapa lamakah masa antara pembinaan kedua-dua masjid?" Rasullulah s.a.w menjawab, "Empat puluh tahun. Selain itu, tunaikanlah solatmu di mana sahaja seandainya masuk waktu solat, biarpun keutamaan adalah pada masjid-masjid ini. (Sahih Al-Bukhari)

- Apabila tentera Salib berjaya menguasai Jerusalem pada 1099, Masjidil Aqsa telah dihina. Khinzir telah diletakkan di mihrab manakala salah satu sudut ruang masjid telah dijadikan gereja. Menurut Imam Eddin r.a, penulis riwayat Salahuddin al-Ayubi, mihrab dipenuhi khinzir dan najis.

- Mimbar asal dianggap sebagai antara mimbar terindah di dunia serta menampilkan gabungan pertukangan kayu, gading dan mutiara yang dirapikan tanpa menggunakan paku mahupun pelekat. Sewaktu Masjidil Aqsa berjaya dirampas kembali oleh orang-orang Islam, ramai jemaah diriwayatkan menangis apabila Qadi Muhyidin Al-Qurashi menaiki mimbar. Mimbar tersebut walau bagaimanapun telah dibakar dalam sebuah serangan oleh pelancong Australia pada tahun 1969. Pelancong tersebut walau bagaimanapun dikatakan menghidapi tekanan emosi.

- Masjidil Aqsa saban tahun menjadi sasaran serangan sehingga ke hari ini. Serangan terakhir berlaku sekitar September 2015.
0 comments

Kubatus Silsilah


Sekilas Sejarah

- Kubatus Silsilah berada di samping Kubatus Sakhra.

- Kubatus Silsilah mula dibangunkan kerajaan Umayyad. Namun demikian, bangunan tersebut pernah digunakan sebagai gereja Chapel pada zaman kerajaan Romawi sebelum dikembalikan sebagai surau kecil oleh kerajaan Salahudin Al-Ayyubi dan dibaik pulih oleh kerajaan Mamluk, Uthmaniyyah dan Waqf Palestin.

- Kubatus Silsilah dibangunkan oleh Khalifah Abdul Malik pada zaman Umayyad pada tahun 691.

- Tapak ini dianggap penting oleh umat Islam dan Kristian. Dalam hal ini, kerajaan Romawi percaya bahawa tapak ini merupakan tempatnya St. James, murid kepada Isa a.s telah disalib. Lantaran itu, Kubatus Silsilah telah dijadikan gereja kecil bernama 'Templum Domini' untuk memperingatinya.

- Sesetengah pendapat mengangkat Kubatus Silsilah sebagai tempat Rasullulah s.a.w mengimamkan 125,000 nabi yang lain dalam peristiwa Israk Mikraj.

- Walau bagaimanapun, Imam Mujir ad-Din berpendapat bahawa Kubatus Silsilah merujuk kepada silsilah ataupun tali yang digunakan oleh Nabi Sulaiman a.s. Menurutnya :

"Antara keajaiban Baitul Maqdis adalah tali yang digantungkan, Nabi Sulaiman a.s bin Nabi Daud a.s, antara Syurga dan Bumi di bahagian timur batu, yakni di mana Kubatus Silsilah kini berdiri. Tali mempunyai satu sifat. Seandainya dua orang mendekatinya untuk menghuraikan pertelingkahan antara mereka, hanya orang yang benar dan jujur yang dapat memegangnya. Seandainya orang yang berkelakuan tidak adil melihatnya, tali tersebut akan beralih dan tidak dapat dipegangnya."

- Bangunan ini bakal menjadi tempat hisab pada hari kiamat. Tali tersebut hanya akan membenarnya orang-orang yang benar untuk melaluinya dan menghalang orang-orang yang berdosa daripada melaluinya.
0 comments

Kubatus Sakhra


Sekilas Sejarah
- Bangunan Kubatus Sakhra sebagaimana yang dapat diperhatikan kini dibangunkan oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan pada zaman Ummayad sekitar tahun 687-691. 
- Masjid tersebut menempatkan batu yang digunakan Rasullulah s.a.w sebagai pelantar sebelum baginda naik ke syurga. Batu tersebut diriwayatkan turut ingin naik ke syurga bersama Rasullulah s.a.w namun dihentikan oleh Malaikat Jibril a.s.
- Salah satu pendapat yang masyhur dalam kalangan jemaah Singapura ialah batu tersebut merupakan batu syurga, lantaran terdapat keberkahan dalam menunaikan solat di batu tersebut. Pendapat tersebut walau bagaimanakan kurang dibincangkan oleh para ulama masyhur. 
Menurut Imam Ibn' Arabi ketika membincangkan kitab al-Muwatta' oleh Imam Malik menyebutkan : 
"Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi." "Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya." "Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain."
- Kubatus Sakhra sudah beberapa kali diubah dan dibaik pulih. Pemulihan yang terbesar berlaku pada zaman Sultan Sulaiman (1520-1566) dari kerajaan Uthmaniyyah. Baginda telah mengarahkan agar batu mosaic yang awalnya melapisi bangunan dilapisi dengan batu ceramic gelas. 
- Permukaan bangunan sebagaimana yang dilihat sekarang walau bagaimanapun telah ditambah pada 1968. Kubah masjid Kubatus Sakhra buat pertama kalinya turut dilapisi dengan warna emas. Namun demikian, kubah yang dilihat sekarang terakhir sekali dilapisi dengan emas pada 1993 dan kini berada pada penjagaan wakaf Raja negara Jordan.
0 comments

Al-Haram Asy-Sharif

Sekilas Sejarah
- Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis ataupun 'Al-Haram Asy-Sharif' merupakan sebahagian daripada tiga masjid utama dalam Islam.
- Masjidil Aqsa turut dipandang sebagai tanah yang suci bagi orang Yahudi dan Kristian.
- Rasullulah s.a.w pernah diangkat ke Sidratul Muntaha dari Baitul Maqdis setelah sebelumnya dibawa dari Masjid Al-Haram di Mekah ke Al-Aqsa dalam peristiwa Isra’ Mi’raj.
- Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama bagi orang Islam sebelum dipindahkan ke Mekah al-Mukarammah. Dalam hal ini, Masjidil Aqsa pada peristiwa Isra’ Mi’raj dalam Al-Qur’an (Surah Al-Isra’ ayat 1) meliputi seluruh kawasan Al-Haram Asy-Syarif.
- Terdapat pelbagai masjid di seluruh perkarangan Al-Haram Asy-Syarif. Selain Masjidil Aqsa sebagaimana yang sedia diketahui, masjid-masjid lain di daerah tersebut turut mempunyai kelebihan tersendiri. Antaranya ialah Masjid Qibla, Kubatus Sakhra, Masjid Buraq, dan Masjid Marwani. Menurut Imam Ibn Taymiyyah r.a. :
"Masjidil Aqsa merupakan nama yang merujuk kepada seluruh kawasan masjid yang dibina (Nabi) Sulaiman a.s. Sesetengah orang menggunakan istilah sama bagi merujuk kepada masjid yang dibina oleh (Saidina) Umar ibn Khattab r.a di hadapan daerah ini..Sewaktu Umar bertanya kepada Ka'ab dimanakah tempat membina masjid untuk kaum muslimin, Ka'ab menjawab di sebalik batu. Umar menyatakan "Tidak, Aku akan membinanya di hadapan batu ini kerana kita selalu solat di hadapan masjid. Atas dasar itu, apabila para Imam masuk ke perkarangan Masjid (ini), mereka akan mengumpulkan jemaah dan mengimamkan solat di masjid yang dibina Umar r.a."
- Masjidil Aqsa menjadi tapak pemakaman bagi segenarap para Nabi dan Sahabat Rasullulah s.a.w. Antaranya termasuklah makam Nabi Sulaiman a.s dan (menurut beberapa riwayat), Salman Al-Farisi r.a. 
- Masjidil Aqsa pernah dikotori sampah apabila kerajaan Romawi menjadikan Masjidil Aqsa tempat pembuangan sampah. Saidina Umar r.a walau bagaimanapun telah membersihkan sampah-sampah tersebut dan menjemput kembali kaum Yahudi untuk kembali tinggal di kota Jerusalem.
- Imam Ghazzali r.a banyak menghabiskan masanya di Masjidil Aqsa dan menulis Kitab Ihya Ulumuddin di situ.
- Tanggapan bahawa gambaran-gambaran tentang Masjid Aqsa yang lazimnya menampilkan Kubatus Sakhra atas usaha mengaburi mata masyarakat Islam tentang penempatan sebenar Masjidil Aqsa adalah kurang tepat. Kubatus Sakhra sebenarnya terletak di pertengahan perkarangan Masjidil Aqsa dan malah lebih dihargai masyarakat Yahudi sebagai 'Temple Mount'. Tanggapan bahawa perihal tersebut sengaja dilakukan untuk mengalihkan pandangan masyarakat terhadap 'Masjidil Aqsa yang sebenar' adalah kurang tepat.

Kelebihan Masjidil Aqsa
Menunaikan solat di Masjidil Aqsa membawa keberkahan dan kelebihan sebagaimana yang disebutkan dalam hadith riwayat Imam At-Tabarani r.a dalam kitab Mu'jam al-Kabir dan Imam al-Bazzar r.a dalam Musnad : 
Abu Darda' r.a. menyampaikan bahawa Rasullulah s.a.w bersabda, "Solat di Masjidil Haram sama seperti solat seratus ribu kali dan solat di masjidku sama seperti solat seribu kali manakala solat di Jerusalem sama seperti solat lima ratus kali."

0 comments
 
Support : Copyright © 2015. Pelita Kalam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger