Studium dan Punctum Jihad Songsang dalam Era Global Imaginary
Sukar
dibayangkan bahawa konsep darah, peperangan dan kesengsaraan bakal dikaitkan
dengan agama Islam yang begitu akrab dengan nilai-nilai yang terbina atas
dasar-dasar yang murni. Namun, sayangnya, demikianlah halnya bagi agama Islam
kini yang kian semakin rancak berhadapan dengan arus songsang yang menentang
ketenteraman yang lama membuai kesyahduan kita dalam wacana-wacana kerohanian.
Lewat
kehadiran gagasan-gagasan yang berpegang teguh pada ideologi-ideologi yang
tidak sealiran dengan prinsip kesejahteraan dan kemanusiaan, masyarakat Islam
terpaksa berhadapan dengan bedilan kata-kata sinis dan kesalahfahaman. Demikian
halnya, barangkali wajar untuk kita bertanyakan kembali akan strategi yang
digunakan golongan pseudo-Islam tersebut dalam melakarkan gambaran tentang
Islam. Dalam masa yang sama, wajar diteliti juga akan perkara-perkara yang
barangkali telah berpengaruh terhadap usaha mereka dalam merangsang minat
golongan tertentu.
Era Global Imaginary
Berhubung dengan wacana, era
sarwajagat telah mengubah budaya kehidupan manusia secara mendadak. Sealiran
perubahan tersebut, turut menerima imbuhan daripada perubahan tersebut
merupakan perspektif manusia yang semakin terpengaruh dengan bahana-bahana
visual yang melingkungi dunia moden. Jelasnya, pelantaran-pelantaran baharu
seperti enjin pencarian Google Images dan
sebagainya telah memberikan imej yang semakin rencam dan pelbagai terhadap
Islam. Gambaran-gambaran kini tidak terhad kepada bentuk-bentuk geometrik,
gambaran alam, mahupun individu-individu yang berpakaian Islami secara
tanggapan tradisional. Dalam hal ini, W. J. Mitchell (2005:105) menjelaskan :
"Images are active players in the game of
establishing and changing values. They are capable of introducing new values
into the world and thus of threatening old ones."
Mengeruhkan lagi keadaan,
khususnya dalam era yang menghadirkan rasa kerdil tatkala mengaku akan
kelemahan diri, masyarakat mula mencari keteguhan lewat usaha mengakrabkan diri
dengan kelompok yang lebih kuat. Dalam erti kata yang lain, 'tembok-tembok'
yang dahulunya menandakan pemisahan antara budaya, bangsa dan negara
dikaburkan. Demikian halnya, Manfred Steger (2008) mengistilahkan perkara
tersebut sebagai 'global imaginary'
atau pembayangan global, yakni tanggapan akan diri seseorang bahawa beliau
merupakan ahli dalam kelompok masyarakat yang lebih besar - sebuah kesedaran
yang disemarakkan kemajuan teknologi di samping ideologi politik berdasarkan
sempadan geografi yang semakin berkurangan.
Era pembayangan global
mengaburkan sempadan antara negara, sehinggakan segala simbol dan ikon budaya
merentasi sempadan negara tersebut bagi melahirkan sebuah kesatuan pada
landskap visual. Manakala dari sudut penjenamaan, perkataan-perkataan seperti global dan international atau antarabangsa sengaja digunakan untuk melahirkan
imej yang lebih penting dan besar berbanding hal yang sebenar. Demikian halnya,
strategi yang sama tampaknya turut dapat diperiksa pada kumpulan-kumpulan jihad
songsang yang cenderung menggunakan perkataan-perkataan seperti mujahadah, Nusantara, khalifah dan jemaah bagi melahirkan persepsi bahawa
perjuangan mereka dibina atas dasar yang berjiwa besar. Bahkan, andai diteliti
dengan lebih kritis lagi, morfem al- cenderung
ditambahkan pada beberapa perkataan yang digunakan mereka untuk memperdayakan
masyarakat Islam yang tidak berupaya untuk berbahasa Arab bahawa perjuangan
mereka diusahakan atas dasar Allah s.w.t.
Studium dan Punctum
Berhubung dengan wacana, Roland
Barthes mengemukakan dua faktor utama yang mempengaruhi keberkesanan sesebuah
gambar, yakni studium dan punctum. Barthes mengistilahkan studium
sebagai elemen yang membolehkan pemerhati untuk mengenali niat serta idea asal
desainer atau jurugambar. Sealiran itu, punctum pula merupakan perkara yang
dihadirkan oleh jurugambar mahupun desainer secara tidak sengaja namun
memberikan kesan yang mendalam pada diri pemerhati. Punctum merupakan elemen
yang merangsang minat pemerhati terhadap sebarang imej. Bahkan, kehadiran
punctum dalam gambar sekali gus menganjak nilai gambar tersebut.
Demikian halnya, biarpun punctum tidak dapat disengajakan,
kesedaran akan kehadiran elemen tersebut membolehkan orang yang
bertanggungjawab terhadap pembangunan imej itu untuk mengimbuhkan idea asalnya
dengan elemen-elemen yang dapat membangunkan punctum tertentu. Dalam hal ini, punctum tersebut, biarpun tidak dirancang
secara eksplisitnya, dilahirkan dengan mengingatkan pemerhati pada peristiwa
lampau mahupun pengalaman yang melingkungi dirinya.
Antara Studium dan Punctum Jihad Songsang, dan Budaya
Popular
Bagi tujuan mengembangkan wacana,
artikel ini akan memeriksa salah satu daripada barisan gambar yang digunakan pihak
Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS)
dalam mengembangkan sayapnya dan memancing pengikut-pengikut dari merata dunia.
(Sumber :
https://www.corbettreport.com/wp-content/uploads/2014/09/isis-army-700x430.png)
Demikian
halnya, dalam gambar di atas, bala tentera ISIS diatur mengikut susunan bentuk
'V' dengan ketua kumpulan diletakkan di barisan hadapan sedangkan
anggota-anggota tentera yang lain diaturkan di bahagian kanan dan kirinya.
Sementara itu, lima buah panji-panji yang kian tidak dapat dipisahkan dengan
ideologi radikal ISIS disusunkan di bahagian belakang. Sementara itu, panji
kuning pada bahagian tengah gambar tersebut menjelaskan keberadaan kumpulan
tersebut sebagai para askar bagi As-Sheikh Abi Ibrahim atau lebih dikenali
sebagai Abu Bakr Al-Baghdadi, peneraju utama kumpulan ISIS.
Sementara
itu, gambar tersebut turut mengemukakan latar padang pasir, sekali gus
menimbulkan persepsi popular akan gaya kehidupan yang islamik. Sekalipun hal
tersebut tidak tepat memandangkan perkembangan Islam tidak terhad pada alam
padang pasir semata, persepsi tersebut dirangsang keakraban perkembangan awal
Islam dengan alam padang pasir yang melingkungi agama tersebut pada zaman-zaman
awal. Dalam hal ini, Andre Servier mengutarakan dalam Islam and the Psychology of the Musulman bahawa psikologi Islam
dapat diterangkan dengan memahami pandangan hidup yang dipegang para muslimin.
Namun demikian, penerangan beliau nescaya tidak tepat memandangkan agama Islam
tidak berkembang di benua Arab semata dan kini turut dianuti pelbagai kelompok
masyarakat dari berbilang nusa dan bangsa. Walau bagaimanapun, lebih
membimbangkan adalah apabila masyarakat Islam yang lebih besar itu sendiri yang
mengaitkan akidah mereka dengan persekitaran padang pasir.
Sehubungan
itu, bagi golongan tersebut, punctum dalam gambar tersebut berbicara dengan
desakan naluri mereka untuk mentafsirkan alam padang pasir sebagai persekitaran
serba Islam. Dipadankan pula dengan lima panji-panji hitam yang melatari
barisan askar, panji-panji tersebut seolahnya 'menegakkan' lima tiang asas
agama Islam. Sama ada secara sedar atau tidak, kumpulan tersebut secara sedaya
upaya berusaha untuk mengaitkan diri mereka dengan tentera panji hitam yang
disabdakan Rasullulah s.a.w sesuai dengan hadith berikut :
"Sabda
Nabi s.a.w, "Jika kamu semua melihat panji-panji hitam datang dari arah
Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji.
Sesungguhnya di tengah-tengah panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat
petunjuk". Maksudnya ialah al-Mahdi." (HR Ibh Majah, Abu Nuaim &
Al-Hakim)
Menekankan
lagi konsep warna yang disebutkan dalam hadith tersebut, para askar kumpulan
ISIS menyeragamkan pakaian mereka dengan warna tersebut, sekali gus melahirkan
imej 'pahlawan yang mempunyai darjat yang tinggi serta dilingkungi nuansa
misteri' seperti riwayat Black Knight dalam lagenda King Arthur, para pahlawan
ninja dalam sistem feudal Jepun dan Panglima
Hitam dalam lipatan sejarah Melayu.
Melengkapkan
imej mereka sebagai 'penegak' tiang agama Islam, para askar di barisan hadapan
turut dilihat mengarahkan pandangan mereka ke bahagian kanan gambar sambil
memegang senjata api. Andai dipandang secara kritis, susunan tersebut turut
jelasnya telah disusun bagi mengelakkan askar-askar tersebut untuk memandang
tepat ke arah lensa kamera, sekali gus mengelakkan mereka daripada dipandang
secara agresif. Sekalipun demikian, barisan tentera di bahagian belakang
kelihatan memandang tepat ke arah kamera sambil manzahirkan sokongan mereka
terhadap seruan kumpulan ISIS. Jelasnya, gambar tersebut diatur pihak ISIS lewat
penyususnan studium bagi melahirkan imej pahlawan-pahlawan yang patuh kepada
syariat Islam serta berjuang bagi menegakkan kedaultan Islam dengan
mengembalikannya ke sistem khalifah, sesuai dengan tradisi Islam pada zaman
awaliyah.
(Sumber : http://screenrant.com/wp-content/uploads/The-Avengers-Movie-Roster-Concept-Art.jpg)
Tanpa
disedari masyarakat umum, strategi tersebut bukanlah konsep asing dan malahan
turut digunakan Marvel Studios dalam
mempromosikan filem The Avengers (2012).
Dalam poster tersebut, dapat dilihat juga bahawa kecuali watak-watak pada
bahagian tengah gambar, kesemua watak yang lain dilakarkan dengan warna-warna
yang gelap dan mirip dengan warna hitam. Sementara itu, watak-watak Iron Man
dan Captain America dilakarkan dengan warna-warna yang sesuai dengan citarasa
politik Barat.
Sama
seperti gambar di atas juga, kesemua watak-watak di barisan hadapan dapat diperhatikan
tidak memandang tepat ke arah lensa kamera manakala watak di belakang, iaitu
Hulk memandang ke hadapan dengan menampakkan riak kemarahan seolah-olah
kegagahannya memayungi kumpulan tersebut. Di samping itu, pemandangan tembok
konkrit yang melatari gambar tersebut melahirkan konsep bagunan-bangunan moden.
Penutup
Perbandingan
kedua-dua gambar di atas menunjukkan betapa persisnya teknik yang digunakan
bagi melahirkan rasa kekaguman dalam diri khalayak pemerhati. Tanpa disedari
masyarakat umum, imejan-imejan yang dilahirkan kumpulan ISIS telah digubah
sebagai satu wacana untuk menyentuh jiwa masyarakat yang bersimpati dengan
ideologi mereka.
Menariknya,
sedangkan watak-watak hero dalam Avengers meletakkan diri mereka sebagai
penyelamat manusiawi pada zaman moden, watak-watak dalam gambar ISIS
seolah-olah meletakkan diri mereka sebagai penyelamat ummah Islam dalam era
hegemoni masa kini serta bertindak untuk mengembalikan Islam pada zaman
kegemilangan asalnya. Namun demikian, wajar ditanyakan jua untuk siapa gambar
tersebut ditujukan? Dalam hal ini, kebarangkalian yang besar adalah gambar
tersebut dibuat tanpa ditujukan pada mana pihak-pihak tertentu secara
khususnya. Dalam erti kata lain, biarpun gambar tersebut secara jelasnya
dipetik untuk mengkeramatkan persepsi diri mereka sebagai pahlawan, konsumer
pada rangkaian akhir bagi gambar tersebut tidak begitu jelas.
Meski
demikian, hal tersebut tidak bererti bahawa gambar tersebut tidak mempunyai
sebarang pengaruh. Bergantung pada individu yang melihat dan menilai, daya
tarikan utama bagi gambar tersebut mungkin pelbagai. Namun demikian, bagi
mengorak langkah ke hadapan daripada isu yang ditangani dalam era pembayangan
global masa kini, masyarakat Islam harus ditekankan akan kepentingan untuk
mencari ilmu berbanding usaha membaiki keadaan dirinya dengan mengaitkan diri
dengan kelompok yang lebih menyerlah. Jati diri masyarakat Islam harus
diteguhkan dengan ilmu bagi memastikan nilai-nilai murni yang hadir dalam
masyarakat masing-masing tidak dikaburi dengan ideologi pelampau, sekali gus menjejas
keupayaan mereka untuk menilai yang benar dan yang tidak.