Featured Post Today
print this page
Latest Post

Studium dan Punctum Jihad Songsang dalam Era Global Imaginary

Studium dan Punctum Jihad Songsang dalam Era Global Imaginary

            Sukar dibayangkan bahawa konsep darah, peperangan dan kesengsaraan bakal dikaitkan dengan agama Islam yang begitu akrab dengan nilai-nilai yang terbina atas dasar-dasar yang murni. Namun, sayangnya, demikianlah halnya bagi agama Islam kini yang kian semakin rancak berhadapan dengan arus songsang yang menentang ketenteraman yang lama membuai kesyahduan kita dalam wacana-wacana kerohanian.

            Lewat kehadiran gagasan-gagasan yang berpegang teguh pada ideologi-ideologi yang tidak sealiran dengan prinsip kesejahteraan dan kemanusiaan, masyarakat Islam terpaksa berhadapan dengan bedilan kata-kata sinis dan kesalahfahaman. Demikian halnya, barangkali wajar untuk kita bertanyakan kembali akan strategi yang digunakan golongan pseudo-Islam tersebut dalam melakarkan gambaran tentang Islam. Dalam masa yang sama, wajar diteliti juga akan perkara-perkara yang barangkali telah berpengaruh terhadap usaha mereka dalam merangsang minat golongan tertentu.

Era Global Imaginary
                
                 Berhubung dengan wacana, era sarwajagat telah mengubah budaya kehidupan manusia secara mendadak. Sealiran perubahan tersebut, turut menerima imbuhan daripada perubahan tersebut merupakan perspektif manusia yang semakin terpengaruh dengan bahana-bahana visual yang melingkungi dunia moden. Jelasnya, pelantaran-pelantaran baharu seperti enjin pencarian Google Images dan sebagainya telah memberikan imej yang semakin rencam dan pelbagai terhadap Islam. Gambaran-gambaran kini tidak terhad kepada bentuk-bentuk geometrik, gambaran alam, mahupun individu-individu yang berpakaian Islami secara tanggapan tradisional. Dalam hal ini, W. J. Mitchell (2005:105) menjelaskan :

"Images are active players in the game of establishing and changing values. They are capable of introducing new values into the world and thus of threatening old ones."

                 Mengeruhkan lagi keadaan, khususnya dalam era yang menghadirkan rasa kerdil tatkala mengaku akan kelemahan diri, masyarakat mula mencari keteguhan lewat usaha mengakrabkan diri dengan kelompok yang lebih kuat. Dalam erti kata yang lain, 'tembok-tembok' yang dahulunya menandakan pemisahan antara budaya, bangsa dan negara dikaburkan. Demikian halnya, Manfred Steger (2008) mengistilahkan perkara tersebut sebagai 'global imaginary' atau pembayangan global, yakni tanggapan akan diri seseorang bahawa beliau merupakan ahli dalam kelompok masyarakat yang lebih besar - sebuah kesedaran yang disemarakkan kemajuan teknologi di samping ideologi politik berdasarkan sempadan geografi yang semakin berkurangan.

                 Era pembayangan global mengaburkan sempadan antara negara, sehinggakan segala simbol dan ikon budaya merentasi sempadan negara tersebut bagi melahirkan sebuah kesatuan pada landskap visual. Manakala dari sudut penjenamaan, perkataan-perkataan seperti global dan international atau antarabangsa sengaja digunakan untuk melahirkan imej yang lebih penting dan besar berbanding hal yang sebenar. Demikian halnya, strategi yang sama tampaknya turut dapat diperiksa pada kumpulan-kumpulan jihad songsang yang cenderung menggunakan perkataan-perkataan seperti mujahadah, Nusantara, khalifah dan jemaah bagi melahirkan persepsi bahawa perjuangan mereka dibina atas dasar yang berjiwa besar. Bahkan, andai diteliti dengan lebih kritis lagi, morfem al- cenderung ditambahkan pada beberapa perkataan yang digunakan mereka untuk memperdayakan masyarakat Islam yang tidak berupaya untuk berbahasa Arab bahawa perjuangan mereka diusahakan atas dasar Allah s.w.t.

Studium dan Punctum

            Berhubung dengan wacana, Roland Barthes mengemukakan dua faktor utama yang mempengaruhi keberkesanan sesebuah gambar, yakni studium dan punctum. Barthes mengistilahkan studium sebagai elemen yang membolehkan pemerhati untuk mengenali niat serta idea asal desainer atau jurugambar. Sealiran itu, punctum pula merupakan perkara yang dihadirkan oleh jurugambar mahupun desainer secara tidak sengaja namun memberikan kesan yang mendalam pada diri pemerhati. Punctum merupakan elemen yang merangsang minat pemerhati terhadap sebarang imej. Bahkan, kehadiran punctum dalam gambar sekali gus menganjak nilai gambar tersebut.

            Demikian halnya, biarpun punctum tidak dapat disengajakan, kesedaran akan kehadiran elemen tersebut membolehkan orang yang bertanggungjawab terhadap pembangunan imej itu untuk mengimbuhkan idea asalnya dengan elemen-elemen yang dapat membangunkan punctum tertentu. Dalam hal ini, punctum tersebut, biarpun tidak dirancang secara eksplisitnya, dilahirkan dengan mengingatkan pemerhati pada peristiwa lampau mahupun pengalaman yang melingkungi dirinya.

Antara Studium dan Punctum Jihad Songsang, dan Budaya Popular

            Bagi tujuan mengembangkan wacana, artikel ini akan memeriksa salah satu daripada barisan gambar yang digunakan pihak Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) dalam mengembangkan sayapnya dan memancing pengikut-pengikut dari merata dunia.

 
(Sumber : https://www.corbettreport.com/wp-content/uploads/2014/09/isis-army-700x430.png)

            Demikian halnya, dalam gambar di atas, bala tentera ISIS diatur mengikut susunan bentuk 'V' dengan ketua kumpulan diletakkan di barisan hadapan sedangkan anggota-anggota tentera yang lain diaturkan di bahagian kanan dan kirinya. Sementara itu, lima buah panji-panji yang kian tidak dapat dipisahkan dengan ideologi radikal ISIS disusunkan di bahagian belakang. Sementara itu, panji kuning pada bahagian tengah gambar tersebut menjelaskan keberadaan kumpulan tersebut sebagai para askar bagi As-Sheikh Abi Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Abu Bakr Al-Baghdadi, peneraju utama kumpulan ISIS.

            Sementara itu, gambar tersebut turut mengemukakan latar padang pasir, sekali gus menimbulkan persepsi popular akan gaya kehidupan yang islamik. Sekalipun hal tersebut tidak tepat memandangkan perkembangan Islam tidak terhad pada alam padang pasir semata, persepsi tersebut dirangsang keakraban perkembangan awal Islam dengan alam padang pasir yang melingkungi agama tersebut pada zaman-zaman awal. Dalam hal ini, Andre Servier mengutarakan dalam Islam and the Psychology of the Musulman bahawa psikologi Islam dapat diterangkan dengan memahami pandangan hidup yang dipegang para muslimin. Namun demikian, penerangan beliau nescaya tidak tepat memandangkan agama Islam tidak berkembang di benua Arab semata dan kini turut dianuti pelbagai kelompok masyarakat dari berbilang nusa dan bangsa. Walau bagaimanapun, lebih membimbangkan adalah apabila masyarakat Islam yang lebih besar itu sendiri yang mengaitkan akidah mereka dengan persekitaran padang pasir.

            Sehubungan itu, bagi golongan tersebut, punctum dalam gambar tersebut berbicara dengan desakan naluri mereka untuk mentafsirkan alam padang pasir sebagai persekitaran serba Islam. Dipadankan pula dengan lima panji-panji hitam yang melatari barisan askar, panji-panji tersebut seolahnya 'menegakkan' lima tiang asas agama Islam. Sama ada secara sedar atau tidak, kumpulan tersebut secara sedaya upaya berusaha untuk mengaitkan diri mereka dengan tentera panji hitam yang disabdakan Rasullulah s.a.w sesuai dengan hadith berikut :

"Sabda Nabi s.a.w, "Jika kamu semua melihat panji-panji hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk". Maksudnya ialah al-Mahdi." (HR Ibh Majah, Abu Nuaim & Al-Hakim)

            Menekankan lagi konsep warna yang disebutkan dalam hadith tersebut, para askar kumpulan ISIS menyeragamkan pakaian mereka dengan warna tersebut, sekali gus melahirkan imej 'pahlawan yang mempunyai darjat yang tinggi serta dilingkungi nuansa misteri' seperti riwayat Black Knight dalam lagenda King Arthur, para pahlawan ninja dalam sistem feudal Jepun dan  Panglima Hitam dalam lipatan sejarah Melayu.

            Melengkapkan imej mereka sebagai 'penegak' tiang agama Islam, para askar di barisan hadapan turut dilihat mengarahkan pandangan mereka ke bahagian kanan gambar sambil memegang senjata api. Andai dipandang secara kritis, susunan tersebut turut jelasnya telah disusun bagi mengelakkan askar-askar tersebut untuk memandang tepat ke arah lensa kamera, sekali gus mengelakkan mereka daripada dipandang secara agresif. Sekalipun demikian, barisan tentera di bahagian belakang kelihatan memandang tepat ke arah kamera sambil manzahirkan sokongan mereka terhadap seruan kumpulan ISIS. Jelasnya, gambar tersebut diatur pihak ISIS lewat penyususnan studium bagi melahirkan imej pahlawan-pahlawan yang patuh kepada syariat Islam serta berjuang bagi menegakkan kedaultan Islam dengan mengembalikannya ke sistem khalifah, sesuai dengan tradisi Islam pada zaman awaliyah.


(Sumber : http://screenrant.com/wp-content/uploads/The-Avengers-Movie-Roster-Concept-Art.jpg)

            Tanpa disedari masyarakat umum, strategi tersebut bukanlah konsep asing dan malahan turut digunakan Marvel Studios dalam mempromosikan filem The Avengers (2012). Dalam poster tersebut, dapat dilihat juga bahawa kecuali watak-watak pada bahagian tengah gambar, kesemua watak yang lain dilakarkan dengan warna-warna yang gelap dan mirip dengan warna hitam. Sementara itu, watak-watak Iron Man dan Captain America dilakarkan dengan warna-warna yang sesuai dengan citarasa politik Barat.

            Sama seperti gambar di atas juga, kesemua watak-watak di barisan hadapan dapat diperhatikan tidak memandang tepat ke arah lensa kamera manakala watak di belakang, iaitu Hulk memandang ke hadapan dengan menampakkan riak kemarahan seolah-olah kegagahannya memayungi kumpulan tersebut. Di samping itu, pemandangan tembok konkrit yang melatari gambar tersebut melahirkan konsep bagunan-bangunan moden.

Penutup

            Perbandingan kedua-dua gambar di atas menunjukkan betapa persisnya teknik yang digunakan bagi melahirkan rasa kekaguman dalam diri khalayak pemerhati. Tanpa disedari masyarakat umum, imejan-imejan yang dilahirkan kumpulan ISIS telah digubah sebagai satu wacana untuk menyentuh jiwa masyarakat yang bersimpati dengan ideologi mereka.

            Menariknya, sedangkan watak-watak hero dalam Avengers meletakkan diri mereka sebagai penyelamat manusiawi pada zaman moden, watak-watak dalam gambar ISIS seolah-olah meletakkan diri mereka sebagai penyelamat ummah Islam dalam era hegemoni masa kini serta bertindak untuk mengembalikan Islam pada zaman kegemilangan asalnya. Namun demikian, wajar ditanyakan jua untuk siapa gambar tersebut ditujukan? Dalam hal ini, kebarangkalian yang besar adalah gambar tersebut dibuat tanpa ditujukan pada mana pihak-pihak tertentu secara khususnya. Dalam erti kata lain, biarpun gambar tersebut secara jelasnya dipetik untuk mengkeramatkan persepsi diri mereka sebagai pahlawan, konsumer pada rangkaian akhir bagi gambar tersebut tidak begitu jelas.

            Meski demikian, hal tersebut tidak bererti bahawa gambar tersebut tidak mempunyai sebarang pengaruh. Bergantung pada individu yang melihat dan menilai, daya tarikan utama bagi gambar tersebut mungkin pelbagai. Namun demikian, bagi mengorak langkah ke hadapan daripada isu yang ditangani dalam era pembayangan global masa kini, masyarakat Islam harus ditekankan akan kepentingan untuk mencari ilmu berbanding usaha membaiki keadaan dirinya dengan mengaitkan diri dengan kelompok yang lebih menyerlah. Jati diri masyarakat Islam harus diteguhkan dengan ilmu bagi memastikan nilai-nilai murni yang hadir dalam masyarakat masing-masing tidak dikaburi dengan ideologi pelampau, sekali gus menjejas keupayaan mereka untuk menilai yang benar dan yang tidak.





0 comments
 
Support : Copyright © 2015. Pelita Kalam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger