Featured Post Today
print this page
Latest Post

Penjenamaan Semula Jihad

Lakaran Tentera Laut Amerika Syarikat Lt. Stephen Decatur menentang Kelasi-Kelasi Islam, Tripoli, Ogos 1804. Foto: Naval Historical Center, Department of The Navy, Washington Navy Yard

Pengenalan

Pada 1807, pembaca-pembaca di Amerika telah dihidangkan dengan sebuah karya berjudulkan 'Sejarah Penawanan Serta Penderitaan Puan Maria Martin'. Jelasnya, sedangkan karya tersebut tidak melakarkan gambaran yang positif terhadap masyarakat Islam, imej yang terbentuk telah mencetuskan sebuah fenomena penjenamaan terhadap imej Islam di seluruh dunia. Rentetan daripada peristiwa tersebut, karya demi karya telah dihasilkan masyarakat Barat bagi menggambarkan orang Islam sebagai golongan yang menggerunkan. Dalam erti kata lain, masyarakat Islam digambarkan sebagai pencabar terhadap nilai-nilai Amerika. 

Mujurnya, hal ini secara beransur telah berubah pada 1810 apabila akhbar 'New Hampshire Patriot' telah menerbitkan sebuah cerpen yang berjudul 'Mohammedan Forbearance'. Antara lainnya, karya tersebut menggambarkan seorang khalifah Islam sebagai model keihsanan. Menariknya, sebagai ulasan terhadap karya tersebut, akhbar yang sama menegaskan bahawa karya tersebut menggambarkan sebuah model yang "dapat ditiru oleh para ilmuan 'teks-teks murni'". 

Sayangnya, imej baik Islam mula tercemar kembali tidak lama kemudian dengan Pemberontakan Kaum Abdi Muslim Bahia pada 1835. Mencerakinkan perihal demikianPeter Manseau, penulis One Nation, Under Gods: A New American History, menjelaskan bahawa perkara tersebut telah membuahkan rasa gerun dalam kalangan rakyat Amerika. Pemberontakan tersebut merupakan gerakan terbesar di daerah Amerika. Apatah pula kerana pemberontakan tersebut turut dijenamakan sebagai gerakan 'Jihad' pertama di Rantau Barat. Ternyata, imej Islam dipengaruhi lakaran-lakaran cerita mahupun sketsa yang terdedah pada masyarakat umum. Maklumat songsang tentang masyarakat Islam telah diterima lewat pelbagai medium dan pelantaran. Persoalannya, apakah strategi yang boleh diambil bagi membetulkan imej songsang yang kian terukir dalam minda kontemporari.

Teori Komunikasi Multiparas


Bagi mencerahkan fenomena yang berlaku, teori komunikasi multiparas ataupun multistep flow communications theory menggagaskan bahawa masyarakat umum membentuk sebuah pendapat dengan mengikut pandangan 'opinion leaders' ataupun 'pemimpin gagasan' dalam sesebuah subjek. Demikian halnya, menurut penjelasan Stanley, B. (2011) dan Katz & Lazarsfeld (1955), para pemimpin gagasan tersebut lazimnya dipengaruhi sebuah media elit ataupun institusi ulung. Dalam situasi-situasi tertentu pula, para pemimpin gagasan tersebut malah turut membentuk media massa serta mempengaruhi pengisian dalam media tersebut. Asasnya, teori tersebut mengetengahkan bahawa perspektif sesebuah masyarakat sebenarnya amat bergantung pada keberkesanan institusi-institusi yang disebutkan dalam mempengaruhi para pemimpin gagasan

Ikutan itu, jelas sekali bahawa komunikasi yang berkesan antara sebuah pihak dengan masyarakat umum berlaku secara berperingkat. Bergerak daripada premis tersebut, pandangan serta tafsiran masyarakat umum terhadap 'jihad' jelasnya dapat dibimbing dengan lebih terarah dan berkesan seandainya golongan sasaran utama dapat dikenal pasti. Nescaya, lewat pendekatan yang lebih terancang, usaha golongan asatizah serta institusi-institusi Islam yang bertungkus lumus dalam fisabilillah mereka tidak akan tersia-sia.

Demikian halnya, analisis yang objektif terhadap usaha membangunkan masyarakat Islam di Singapura menyorotkan usaha beberapa individu mahupun institusi dalam membangunkan sebuah ummah yang mampu untuk menjadi benteng utama dalam memurnikan kefahaman masyarakat umum akan konsep jihad.

Penyongsangan Pengertian Jihad

Pada zaman ini, sering terdengar akan kumpulan-kumpulan yang melaungkan seruan jihad untuk menegakkan konsep keganasan dalam mengecapi matlamat mereka. Demikian halnya, jihad sebenarnya langsung tidak merujuk pada keganasan serta membenarkan pembunuhan secara kejam. Sayangnya, wujudnya kumpulan-kumpulan pengganas yang memutarbelitkan perbahasan-perbahasan yang murni ibarat golongan yang membawa bencana dan angkara ke bumi ini. Allah s.w.t telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 194: 


وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ.أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka:Janganlah kamu membuat 
bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: 
Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. 
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang 
sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

Kalimah jihad berasal dari kata kerja bahasa arab, iaitu jahada yang bererti gigih berusaha dengan sepenuh jiwa raga sehingga mencapai matlamat kejayaan di jalan Allah swt. Dalam erti kata lain, jihad merupakan fi sabilillah. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah telah menjelaskan bahawa jihad “mengerahkan segala upaya demi mencapai kebenaran yang diinginkan.” 

Menjelaskan lagi hujahnya,  “Hakikat jihad adalah upaya yang sungguh-sungguh untuk mencapai hal-hal yang diredhai Allah seperti iman dan amal saleh, sekali gus untuk menolak hal-hal yang dibenci-Nya seperti kekufuran, kefasikan, dan kemaksiatan.” 

Hal ini selaras dengan pendapat Syaikhul Azhar, Doktor Ahmad Tayyeb yang melanjutkan bahawa definisi  tersebut mencakupi segala jenis jihad yang dapat dilakukan kaum muslim. Jihad mencakupi usaha keras dalam mentaati Allah, dengan melaksanakan perintah-Nya di samping menjauhi larangan-Nya. Ini termasuk juga usahanya dalam berdakwah.

Peperangan jelas sekali merupakan tafsiran yang cetek dan sekadar menjelas satu bahagian kecil daripada istilah yang sebenar. Menurut pendapat para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, jihad dapat dibahagikan kepada dua, yakni Jihad Asghar (kecil) dan Jihad Akbar (besar). Jihad Asghar merupakan perjuangan kecil di medan perang. Manakala Jihad Akbar ialah perjuangan melawan hawa nafsu. Hal ini bersesuaian dengan maksud sabda Rasullulah ketika baru sahaja kembali dari perang Badar dan diriwayatkan oleh Imam Baihaqi, “Kita kembali dari jihad yang kecil menuju jihad yang besar, iaitu jihad melawan hawa nafsu.”

Tanpa disangkal, Al-Quran telah menurunkan prinsip-prinsip jihad yang mengarah kepada kedamaian dan kesejahteraan. Tafsiran yang tidak bertanggungjawab sekadar mengelirukan serta menjejas imej Islam di mata dunia. Lewat penggunaan sistem komunikasi multiparas, para asatizah dan pendakwah dapat membimbing masyarakat secara terarah. 

Membangunkan Ummah Pembenteng

Demikian halnya, antara usaha yang wajar diberikan pengiktirafan termasuklah usaha Encik Mohamed Nassir, pengasas utama Simply Islam, sebuah institusi pendidikan Islam yang kian menempa nama di rantau ini. Bercekalkan semangat untuk menabur bakti dalam arena pendidikan Islam di Singapura, Simply Islam telah ditubuhkan bagi mengisi ruang kekosongan bagi pendidikan Islam dalam bahasa Inggeris

Mengorak langkah yang lebih besar pula, atas dorongan bersama dengan Sheikh Ahmad Saad, badan tersebut telah membangunkan sebuah kursus khusus yang bertujuan untuk melahirkan struktur yang khusus berteraskan teks-teks Islam klasik. Kian menapak di Singapura sejak awal tahun lepas, kursus tersebut telah dibangunkan untuk melahirkan sebuah ummah yang mampu bertindak selaku duta Islam serta membawa imej yang bersesuian dengan keperibadian and akhlak rasullulah s.a.w. 

Jelasnya, lebih penting lagi, kursus 'Al-Husna' bertujuan untuk mendidik ummah yang mampu untuk berfungsi secara proaktif. Sama ada dalam hujah bicara mahupun akhlak dan gaya, kursus yang ditawarkan bersama oleh Pusat Pengajian Islam As-Siddiq dan Institut Ihsan bagi Pengajian Arab dan Islam (United Kingdom), diharapkan untuk membuahkan ilmu dan kefahaman yang komprehensif terhadap ilmu sains islam. Lebih penting lagi, kursus tersebut turut bertujuan untuk mendekatkan masyarakat Islam Singapura dengan Allah swt serta rasullulah s.a.w.

Lebih penting lagi, sama ada secara sengaja mahupun tidak, usaha tersebut secara tidak langsung turut mendekatkan golongan ulama-ulama ulung ke tanahair Singapura di samping membuka sumur ilmu ulama-ulama tersebut ke segenap lapisan masyarakat, tanpa mengira tahap keilmuan mereka. Nescaya, hal tersebut turut mengimbas usaha ulama-ulama terdahulu yang tidak segan dan proaktif dalam mendekati masyarakat umum. Antaranya termasuklah Sheikh Umar bin Abdullah Al-Khatib yang begitu giat mendekati pelbagai lapisan masyarakat, baik daripada golongan yang baharu mengenali Islam ke golongan ulama-ulama Islam pada zamannya. 

Mengambil hikmah daripada perihal yang disebutkan, usaha dakwah bagi memperbetulkan imej Islam haruslah dilakukan secara niat yang ikhlas. Dalam erti kata lain, usaha tersebut tidak sewajarnya bersifat judgemental atau dibuat dengan sebuah penghakiman berdasarkan imej. Menjelaskan teori multiparas yang dibincangkan di atas, usaha untuk membangunkan ummah sebagai benteng utama imej Islam yang terjaga haruslah berlaku pada pelbagai lapisan dan peringkat serta tidak disasarkan pada golongan tertentu semata.

Dakwah Jihad dalam Era Media Sosial

Melanjutkan wacana, usaha dakwah bagi memperbetulkan imej jihad harus mengambil pendekatan yang lebih dinamik dan tidak lagi mampu dilanjutkan secara tradisional semata. Mentelah pula, jumlah pengguna Internet dilaporkan telah berkembang daripada sekitar beberapa juta di seluruh dunia semata ke jumlah yang jauh lebih besar. Demikian halnya, Michael S. Gross, seorang pegawai dari Persatuan Hubungan Awam Amerika menegaskan bahawa kadar waktu singkat yang kini diperlukan bagi menyebarkan maklumat serta mencetuskan perbincangan menyorotkan kepentingan memahami jangkau keupayaan media sosial.

Dalam konteks jihad pula, Mantan Naib-Pengarah Central Intelligence Agency (CIA) di Amerika mendedahkan bahawa radikalisasi sendiri ataupun self-radicalization merupakan masalah besar terhadap keselamatan dunia. Tanpa bimbingan yang jelasmereka terpengaruh dengan ajaran golongan yang cenderung terhadap keganasan. 

Lantaran itu, para pendakwah dan ulama di Singapura mahupun rantau ini harus berusaha untuk mendekati masyarakat yang kian lebih senang di alam maya berbanding alam nyata. Usaha dakwah tidak lagi boleh dibataskan di medan wacana agama mahupun masjid semata. Menyedari hal itu, golongan profesional, media, pelajar serta individu-individu yang aktif di ruang sosial dapat didekati bagi memangkinkan lagi usaha para ulama kita. Jelasnya, usaha memasyarakatkan ilmu yang terarah akan konsep jihad yang sebenar bukanlah tanggungjawab golongan asatizah semata.

Penutup

Imej songsang yang sedia hadir berkenaan pengertian jihad jelas sekali dapat diperbetulkan dengan langkah-langkah yang terancang. Membaiki semula imej Islam yang terjejas dek permasalahan-permasalahan yang sering diketengahkan, usaha rebranding atau penjenamaan semula kian merupakan satu keperluan dalam era kontemporari.

Kaitan istilah ‘jihad’ dengan keterampilan seorang lelaki lengkap dengan senjata serta berbaju loreng harus digantikan dengan imej yang lebih bersesuaian dengan nilai-nilai Islam. Jelas sekali, sebagaimana yang dapat kita tafsirkan daripada istilah ‘Islam’ itu sendiri, agama Islam merupakan sebuah agama yang mencintakan kedamaian. 

Lantaran itu, setiap insan yang beragama Islam mempunyai tanggungjawab untuk membela kerohaniannya dengan kaedah-kaedah yang bersesuaian. Namun jelasnya, lewat pendidikan nilai serta hukum Islam yang strategik, insan-insan yang berupaya untuk menyumbang dengan proaktif dapat didekati dan dikenal pasti bagi menyambut dan memanjangkan usaha para ulama di Singapura. Moganyalewat kaedah tersebut, gejolak yang melanda agama kita dapat diredakan dan dikembalikan seperti sediakala.
0 comments

Selawat Nuril Anwar



اللهم صل على نور الانوار وَسِرِّ الاَسرَارِ وَتِر يَاقِ الاَغيَارِ وَمِفتَاحِ بَابِ اليَسَارِ سَيِّدِنَا مُحَمَّد المُختَارِ وَالِهِ الاَطهَار وَاصحَا بِهِ الاَخيَارِ عَدَدَ نِعَمِ اللهِ وَاِفضَالِهِ

Allahumma shalli 'alaa nuuril anwaari wasirril asraari, watiryaaqil aghyaari wamiftaahi baabil yasaari, sayyidinaa wamaulaana Muhammadinil muhtaari wa aalihil ath haari wa ash haabihil ahyaari 'adada ni'amillaahi wa ifdhaalih.
Artinya :

“Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada cahaya dari segala cahaya, rahasia dari segenap rahasia, penawar duka dan kebingungan, pembuka pintu kemudahan, yakni junjungan kami, Nabi Muhammad s.a.w. yang terpilih, keluarganya yang suci, dan para sahabatnya yang mulia, sebanyak hitungan nikmat Allah dan kurnia-Nya”

Keutamaan dan Khasiat Selawat Nuril Anwar :

Shalawat ini dikarang oleh Wali Quthub Sayyid Ahmadal-Badawi r.a. Menurutnya, keutamaan dan kegunaan selawat ini adalah:
  • Pengamal selawat ini akan terhindar dari segala marabahaya dan dimurahkan rezeki jika dibaca selepas setiap solat fardhu.
  • Diwasiatkan juga, jika seseorang menginginkan jabatan atau kedudukan tinggi, maka hendaklah dia membaca selawat ini sebanyak 21x sewaktu dalam perjalanan ke kerja.
  • Bila seseorang membaca selawat ini 7x sebelum tidur, insya'Allah, terhindarlah dia dari sihir yang dilakukan orang yang jahat.
Demikian halnya, menurut pengalaman para ulama’, Selawat Nuurul Anwar atau Nuuril Anwar ini memiliki banyak faedah dan khasiat-khasiat yang lain. Antaranya termasuklah :
  • Jika dibaca ketika hati dalam keadaan tidak tenteram, akan diperkenankan kelapangan hati serta kegembiraan baginya oleh Allah s.w.t.
  • Jika sedang mengalami amarah yang memuncak, insya-Allah diredakan apa kemarahan buat seketika. Demikian halnya juga tatkala berhadapan dengan orang yang sedang marah. 
  •  Khususnya bagi golongan penuntut ilmu, selawat ini boleh juga diamalkan untuk menjernihkan fikiran serta memudahkan menerima pelajaran yang diajarkan.
  • Amalan ini turut berguna bagi memurahkan rezeki serta membantu dalam usaha perdagangan. 
  • Jika selalu diamalkan, kesannya termasuklah hati yang lembut buat seseorang yang pemarah dan hati yang penyayang untuk seseorang yang lazim berdendam.

0 comments
 
Support : Copyright © 2015. Pelita Kalam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger