Featured Post Today
print this page
Latest Post

Al-Haram Asy-Sharif

Sekilas Sejarah
- Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis ataupun 'Al-Haram Asy-Sharif' merupakan sebahagian daripada tiga masjid utama dalam Islam.
- Masjidil Aqsa turut dipandang sebagai tanah yang suci bagi orang Yahudi dan Kristian.
- Rasullulah s.a.w pernah diangkat ke Sidratul Muntaha dari Baitul Maqdis setelah sebelumnya dibawa dari Masjid Al-Haram di Mekah ke Al-Aqsa dalam peristiwa Isra’ Mi’raj.
- Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama bagi orang Islam sebelum dipindahkan ke Mekah al-Mukarammah. Dalam hal ini, Masjidil Aqsa pada peristiwa Isra’ Mi’raj dalam Al-Qur’an (Surah Al-Isra’ ayat 1) meliputi seluruh kawasan Al-Haram Asy-Syarif.
- Terdapat pelbagai masjid di seluruh perkarangan Al-Haram Asy-Syarif. Selain Masjidil Aqsa sebagaimana yang sedia diketahui, masjid-masjid lain di daerah tersebut turut mempunyai kelebihan tersendiri. Antaranya ialah Masjid Qibla, Kubatus Sakhra, Masjid Buraq, dan Masjid Marwani. Menurut Imam Ibn Taymiyyah r.a. :
"Masjidil Aqsa merupakan nama yang merujuk kepada seluruh kawasan masjid yang dibina (Nabi) Sulaiman a.s. Sesetengah orang menggunakan istilah sama bagi merujuk kepada masjid yang dibina oleh (Saidina) Umar ibn Khattab r.a di hadapan daerah ini..Sewaktu Umar bertanya kepada Ka'ab dimanakah tempat membina masjid untuk kaum muslimin, Ka'ab menjawab di sebalik batu. Umar menyatakan "Tidak, Aku akan membinanya di hadapan batu ini kerana kita selalu solat di hadapan masjid. Atas dasar itu, apabila para Imam masuk ke perkarangan Masjid (ini), mereka akan mengumpulkan jemaah dan mengimamkan solat di masjid yang dibina Umar r.a."
- Masjidil Aqsa menjadi tapak pemakaman bagi segenarap para Nabi dan Sahabat Rasullulah s.a.w. Antaranya termasuklah makam Nabi Sulaiman a.s dan (menurut beberapa riwayat), Salman Al-Farisi r.a. 
- Masjidil Aqsa pernah dikotori sampah apabila kerajaan Romawi menjadikan Masjidil Aqsa tempat pembuangan sampah. Saidina Umar r.a walau bagaimanapun telah membersihkan sampah-sampah tersebut dan menjemput kembali kaum Yahudi untuk kembali tinggal di kota Jerusalem.
- Imam Ghazzali r.a banyak menghabiskan masanya di Masjidil Aqsa dan menulis Kitab Ihya Ulumuddin di situ.
- Tanggapan bahawa gambaran-gambaran tentang Masjid Aqsa yang lazimnya menampilkan Kubatus Sakhra atas usaha mengaburi mata masyarakat Islam tentang penempatan sebenar Masjidil Aqsa adalah kurang tepat. Kubatus Sakhra sebenarnya terletak di pertengahan perkarangan Masjidil Aqsa dan malah lebih dihargai masyarakat Yahudi sebagai 'Temple Mount'. Tanggapan bahawa perihal tersebut sengaja dilakukan untuk mengalihkan pandangan masyarakat terhadap 'Masjidil Aqsa yang sebenar' adalah kurang tepat.

Kelebihan Masjidil Aqsa
Menunaikan solat di Masjidil Aqsa membawa keberkahan dan kelebihan sebagaimana yang disebutkan dalam hadith riwayat Imam At-Tabarani r.a dalam kitab Mu'jam al-Kabir dan Imam al-Bazzar r.a dalam Musnad : 
Abu Darda' r.a. menyampaikan bahawa Rasullulah s.a.w bersabda, "Solat di Masjidil Haram sama seperti solat seratus ribu kali dan solat di masjidku sama seperti solat seribu kali manakala solat di Jerusalem sama seperti solat lima ratus kali."

0 comments

Tholama Asyku Ghoromi


ﻃﺎﻟﻤﺎ ﺍﺷﻜﻮ ﻏﺮﺍﻣﻰ ﻳﺎ ﻧﻮﺭ ﺍﻟﻮﺟﻮﺩ
ﻭﺍﻧﺎﺩﻯ ﻳﺎ ﺗﻬﺎﻣﻰ ﻳﺎ ﻣﻌﺪﻥ ﺍﻟﺠﻮﺩ

Thoolamaa asykuu ghoroomii yaa nuurol wujuud
Wa unaadii yaa tihaamii yaa ma’dinal juud

Lama sudah aku menanggung rindu;
Wahai cahaya alam yang indah !
Serta aku menyeru, Wahai Nabi !
Wahai punca ilmu yang pemurah !

ﻣﻨﻴﺘﻰ ﺍﻗﺼﻰ ﻣﺮﺍﻣﻰ ﺍﺣﻈﻰ ﺑﺎﻟﺸﻬﻮﺩ
ﻭﺍﺭﻯ ﺑﺎﺏ ﺍﻟﺴﻼﻡ ﻳﺎ ﺯﺍﻛﻰ ﺍﻟﺠﺪﻭﺩ

Mun-yatii aqshoo maroomii ahdhoo bisy-syuhuud
Wa aroo baabas-salaami yaa zaakiil juduud

Impianku setinggi-tinggi cita-cita;
Moga diberikan tuah dapat melihatmu
Juga melihat Bab al Salam (di Masjid Nabawi);
Wahai sesuci-suci insan!

ﻳﺎ ﻃﺮﺍﺯ ﺍﻟﻜﻮﻥ ﺍﻧﻰ ﻋﺎﺷﻖ ﻣﺴﺘﻬﺎﻡ
ﻣﻐﺮﻡ ﻭﺍﻟﻤﺪﺡ ﻓﻨﻰ ﻳﺎ ﺑﺪﺭ ﺍﻟﺘﻤﺎﻡ

Yaa thiroozal kauni innii ‘aasyiq mustahaam
Mughromun wal mad-hu fannii yaa badrottamaam

Wahai hiasan dunia ini!
Aku amat cinta dan rindu padamu
Hanya pujian menjadi persembahanku
Wahai bulan mengambang penuh!

ﺍﺻﺮﻑ الاﻋﺮﺍض ﻋﻨّﻲ ﺍضنان ﺍﻟﻐﺮﺍﻡ
ﻓﻴﻚ ﻗﺪ ﺍﺣﺴﻨﺖ ﻇﻨّﻲ ﻳﺎ ﺳﺎﻣﻰ ﺍﻟﻌﻬﻮﺩ

Ishrifil i’roodlo ‘annii adlnaanil ghoroom
Fiika qod ahsantu dhonnii yaa saamiil ‘uhuud

Jauhkanlah segala penghalangku daripadamu
Yang kupendam hanya kerinduan terhadapmu
Padamu aku bersangka baik;
Wahai yang benar pada janjinya!

ﻳﺎ ﺳﺮﺍﺝ ﺍﻷﻧﺒﻴﺎﺀ ﻳﺎ ﻋﺎﻟﻲ ﺍﻟﺠﻨﺎﺏ
ﻳﺎ ﺇﻣﺎﻡ ﺍﻷﺗﻘﻴﺎﺀ ﺇﻥ ﻗﻠﺒﻲ ذاﺏ

Yaa siroojal anbiyaa-i yaa ‘aaliil janaab
Yaa imaamal atqiyaa-i inna qolbii dzaab

Wahai pelita sekalian Rasul!
Wahai insan yang mempunyai setinggi-tinggi kedudukan!
Wahai Imam orang-orang yang bertaqwa!
Sesungguhnya hatiku terpaut padamu.

ﻭﻋﻠﻴﻚ ﺍﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ ﺭﺑﻰ ﺫﻭ ﺍﻟﺠﻼﻝ
ﻳﻜﻔﻰ ﻳﺎ ﻧﻮﺭ ﺍﻻﻫﻠﺔ ﺍﻥ ﻫﺠﺮﻯ ﻃﺎﻝ

Wa ‘alaikallaahu shollaa robii dzuul jalaal
Yakfii yaa nuurol ahillah inna hajrii thool

Ke atasmu, moga Allah mencurahkan rahmat
Tuhanku Yang Mempunyai Keagungan
Cukuplah, wahai Cahaya Bulan!
Sesungguhnya perpisahanku denganmu telah terlalu lama

ﺳﻴﺪﻱ ﻭﺍﻟﻌﻤﺮ ﻭﻟﯽ ﺟﺪﺑﺎﻟﻮﺻﻞ ﺟﻮﺩ

Sayyidii wal ‘umru wallaa Jud bil washli juud
0 comments

Kubur Baqi'



Sekilas Sejarah

- Perkuburan Baqi' terletak sekitar Masjidil Haram. Imam Muslim r.a. menjangkakan jumlah sahabat-sahabat Rasullulah s.a.w yang dimakamkan di perkuburan tersebut sebagai sekitar 10,000 orang. Antaranya termasuklah sahabat-sahabat Rasullulah s.a.w, isteri-isterinya, anak-anaknya, saudara-maranya dan Khalifah Ketiga Islam, Saidina Uthman r.a. Imam Muslim r.a. malah turut dimakamkan di situ.

- Antara isteri-isteri Rasullulah s.a.w walau bagaimanapun, hanya Saidatina Khadijah r.a semata yang disemadikan di Jannatul Maula, Mekah.

- Perkuburan tersebut dahulunya dapat dianggap sebagai berada di luar kawasan Madinah Al-Munawwarah. Namun demikian, atas dasar kerja-kerja perluasan kawasan Masjid, kubur Al-Baqi' kini berada di samping Masjidil Nabawi.

- Ahli-ahli kubur Baqi bakal menjadi golongan pertama yang dibangkitkan di akhirat kelak.

- Semua makam di situ tidak bertanda.

- Perkuburan Baqi' dahulunya pernah dipenuhi kubah-kubah besar sebagai penanda makam. Walau bagaimana pun, pemerintah Saudi telah menghancurkan tanda-tanda tersebut sekitar tahun 1925.

- Kaum wanita tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan perkuburan.
0 comments

Jamrah



Sekilas Sejarah

- Ibadah melontar Jamrah merupakan antara kewajiban ibadah Haji dan dikenali dalam bahasa Arab sebagai 'Ramiyat Jamrat' atau رمي الجمرات‎‎. 
- Ibadah tersebut mengingatkan peristiwa Haji yang dilakukan Nabi Ibrahim a.s yang diiringi Malaikat Jibril a.s.
- Menurut Kitab Akhbar Makkah oleh Al-Azraqi :
"Apabila dia [Nabi Ibrahim] meninggalkan Mina dan dibawa ke (laluan yang sempit di celah-celah bukit yang dipanggil) al-Aqabah, syaitan memunculkan dirinya di tempat longgokan batu besar di situ. Jibril berkata kepadanya beliau: "Rejamlah dia!" maka demikianlah Ibrahim melemparkan tujuh batu kepadanya sehingga ia hilang. Kemudian dia menampakkan diri kepada beliau di longgokan batu sederhana. Jibril berkata kepada beliau: "Rejamlah dia!" maka beliau melemparkan tujuh batu kepadanya sehingga ia hilang. Kemudian ia menampakkan diri kepada beliau di longgokan batu kecil. Jibrail berkata kepada beliau: "Rejamlah dia!" maka beliau melemparkan tujuh batu seperti batu kecil untuk dibaling menggunakan anduh. Maka, syaitan pun pergi daripada beliau."
- Jemaah Haji harus melemparkan batu-batu kerikil ke arah tiga tiang utama yakni Jamratul 'Ula atau Sughra, Jamratul Wusta, dan Jamratul Aqabah atau Kubra.
- Tiang-tiang tersebut pada awalnya merupakan tiga tiang yang besar. Namun, pada 2004, pihak kerajaan Saudi telah menggantikan tiang tersebut dengan tembok-tembok besar yang berukuran 26 meter memandangkan jemaah Haji kadangkala tidak sengaja mencederakan jemaah-jemaah lain tatkala melontar jamrah. Sebuah jembatan besar dinamakan Jisrul Jamrah telah dibina bagi membolehkan jemaah untuk melontar dari aras yang lebih tinggi.
- Ibadah ini merupakan ibadah yang paling membahayakan dan telah menyaksikan beberapa kejadian yang tidak diingini. Antaranya termasuklah rempuhan Haji pada tahun 2006 yang telah meragut hampir 346 nyawa di samping mencederakan sekitar 298 orang. 
- Insiden terakhir adalah pada 24 September 2015 yang telah meragut sekitar 2411 nyawa.
0 comments

Jabal Nur


Sekilas Sejarah
- Jabal Nur merupakan gunung di daerah Hijjaz, Mekah. Gunung tersebut merupakan antara tarikan pelancongan di Mekah.
- Jabal Nur mengandungi Gua Hira, yakni tempat pertama Rasullulah s.a.w telah menerima wahyu daripada Allah s.w.t lewat Malaikat Jibril a.s. 
- Masa yang diambil untuk mendaki ke gua tersebut adalah sekitar 2 jam.
- Rasullulah s.a.w dikatakan telah menerima banyak mimpi-mimpi yang indah dan menenangkan selama enam bulan sebelum menerima wahyu pertama. Antaranya termasuklah mimpi bahawa batu-batu di Mekah telah memberikan salam kepadanya. 
- Rasullulah s.a.w gemar ke gua tersebut untuk bersendiri untuk bertahannuts atau uzlah. Tahannuts bererti mengasingkan diri untuk mensucikan diri kepada Ilahi. Baginda turut melakukan hal tersebut untuk bermuhasabah diri dan menjauhi amalan-amalan Jahiliyah seperti meminum arak, berjudi dan sebagainya. 
- Sejurus selepas itu, seandainya Baginda terpaksa pulang untuk mencari makan dan minuman, Baginda akan bertawaf di Kaaba sebanyak tujuh pusingan sebelum pulang.



0 comments

Mash'arul Haram (Muzdalifah)



Sekilas Sejarah

- Muzdalifah merupakan dataran terbuka antara Mina dan Arafah serta berdiri antara lembah Muhassar serta pergunungan Ma'zamayn.

- Merupakan antara empat tempat-tempat yang terpenting sewaktu melakukan ibadah Haji.

- Muzdalifah berasal daripada tiga perkataan utama, yakni 'zul', 'la' dan 'fah' yang bererti 'untuk mendekati sesuatu'.

- Menurut Ibn Qudamah r.a, "Al-Muzdalifah mempunyai tiga buah nama, yakni Muzdalifah, Jam' dan Masharul Haram. " Sedangkan seseparuh ulama mentafsirkannya sebagai gunung di Muzdalifah yang bernama Quzah, Ata r.a. mentafsirkan Masharul Haram untuk merujuk kepada seluruh kawasan Muzdalifah. 

- Gunung tersebut walau bagaimanapun kian telah dihancurkan sebelum dibina masjid di atas tapak tersebut.

- Menurut Saidina Aisya r.a, dilaporkan oleh masyarakat jahiliyah Quraisy serta mereka yang bersepakat dalam perihal keagamaan dengan mereka telah bermalam di Muzdalifah dan menamakan diri mereka sebagai Hums sedangkan golongan Arab yang lainnya telah bermalam di 'Arafah. Dengan kedatangan Islam walau bagaimanapun, Allah s.w.t mengarahkan Rasullulah s.a.w untuk datang ke 'Arafah untuk bermalam di sana sebelum kemudiannya bertolak dari sana (ke Muzdalifah). Hal demikian telah disebutkan dalam firman-Nya, "Kemudian bertolaklah kalian dari tempat bertolaknya ramai orang (Arafah) dan mohonlah keampunan kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang." (Al-Baqarah : 199) - Hadith Sahih Muslim

- Pada malam kesembilan bulan Zulhijah, yakni selepas terbenamnya matahari tanpa mengerjakan solat Maghrib, jemaah akan meninggalkan Muzdalifah sambil membaca Talbiyah secara tenang dan berwibawa (Sahih Muslim). Sejurusnya selepas sampai Muzdalifah, kerjakan solat Maghrib dan Isya' secara jamak dengan satu Azan dan dua Iqamat serta mengerjakan tiga rakaat maghrib dan dua rakaat Isya'. Bermalamlah di Muzdalifan dan kerjakan solat Subuh pada 10 Zulhijah secepat mungkin.

- Seandainya terdapat kesukaran bagi perjalanan ke Masharul Haram, jemaah dapat membuat doa di mana sahaja dia berada kerana Rasullulah s.a.w sendiri berdiri sedemikian dan keseluruhan daerah Muzdalifah merupakan tempat berdiri. Jemaah walau bagaimanapun harus memandang ke arab kiblat dan mengangkat tangannya sewaktu berzikir mahupun berdoa.







0 comments

Tawaf dalam Keadaan Haid



حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، قَالَ سَمِعْتُ عَبْد الرَّحْمَنِ بْنَ الْقَاسِمِ، قَالَ سَمِعْتُ الْقَاسِمَ، يَقُولُ سَمِعْتُ عَائِشَةَ، تَقُولُ خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلاَّ الْحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَىَّ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَنَا أَبْكِي قَالَ ‏"‏ مَا لَكِ أَنُفِسْتِ ‏"‏‏.‏ قُلْتُ نَعَمْ‏.‏ قَالَ ‏"‏ إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الْحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ ‏"‏‏.‏ قَالَتْ وَضَحَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ نِسَائِهِ بِالْبَقَرِ‏.‏

''Aisha berkata, "kami melangkah pergi dengan satu-satunya niat untuk melakukan Hajj namun didatangi Haid setelah sampai di Sarif (sebuah tempat enam batu dari Mekah). Rasullulah s.a.w mendatangiku semasa aku menangis. Baginda bertanya, 'Apakah yang terjadi? Adakah anda didatangi haid?'. Aku membalasnya, 'ya'. Baginda pun bersabda 'ini merupakan sesuatu yang telah Allah fitrahkan kepada para wanita berketurunan Adam. Lakukanlah segala apa yang dilakukan para jemaah lain kecuali bertawaf mengelilingi kaabah." Aisha menambah, "Rasullulah s.a.w mengorbankan beberapa ekor lembu bagi para isterinya. (Hadis 293, Vol. 1)

Pengenalan

Haid merupakan antara masalah lumrah yang dihadapi golongan wanita tatkala mengerjakan ibadah umrah mahupun haji. Demikian halnya, jemaah-jemaah wanita, khususnya bagi yang menyedari bahawa waktu haid mereka bakal menjelang ataupun sudah tiba kadangkala terperangkap dalam dilema sama ada mereka perlu menjatuhkan niat umrah tatkala berada di miqat. Demikian halnya, perkara tersebut sebenarnya telahpun dibahaskan oleh segenap ulama' dalam mencari jalan penyelesaiannya.

Meski begitu, para jemaah harus menyedari bahawa seseorang tidak diperbolehkan untuk menangguh daripada memasuki ihram. Dari sudut fiqh, seorang wanita boleh memasuki ihram meskipun berada dalam keadaan nifas ataupun haid. Dalam erti kata lain, jemaah wanita tidak boleh menagguhkan dirinya daripada memasuki ihram sehingga tibanya di Mekah. Namun demikian, beliau tidak boleh menyempurnakan ibadah umrah sehingga dirinya suci. Kesemua ibadah-ibadah lain kecuali bertawaf bagaimanapun diperbolehkan.

Pemahaman tersebut antaranya berdasarkan Hadith berikut :

Dari Ibnu ‘Abbas, Rasullulah s.a.w bersabda:

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ فَأَقِلُّوا مِنْ الْكَلَامِ

“Tawaf di kaabah seperti solat, namun di dalamnya diperbolehkan sedikit perbualan.” (HR. An Nasai no. 2922)

Kaedah-kaedah Mengatasi Permasalahan
Berhubung wacana, terdapat khilaf akan kaedah-kaedah mengatasi permasalahan yang dibincangkan.

Pertama, sesetengah ulama berpendapat bahawa tawaf tidak dibenarkan sewaktu dalam keadaan haid sepertimana yang berlaku dalam ibadah solat dan puasa. Hujah utama mereka ialah ketiga-tiga ibadah tersebut mengandungi larangan-larangan yang serupa.

Kedua, kendatipun pendapat di atas bernas, terdapat juga ulama-ulama lain yang berpendapat sebaliknya berkenaan hal tersebut. Mazhab Hanafi dan Hambali misalnya berpendapat bahawa wanita dalam keadaan haid masih boleh melakukan tawaf.

Biarpun begitu, ibadah tersebut perlu disusuli dengan membayar dam. Alim ulama kedua-dua mazhab tersebut berpendapat bahawa hubungan antara kesucian ritual dan tawaf tidak serupa dengan kesucian ritual yang diperlukan dalam solat. Mereka menghujahkan bahawa taharah (menyucikan diri) bukanlah sebuah syarat yang diperlukan seperti sebelumnya melakukan solat. Sebaliknya, kesucian daripada hadas besar dan kecil dianggap sebagai sebuah kewajiban, lantaran itu membenarkan pembayaran dam terhadap pelanggaran yang telah dilakukan. Sheikul Islam Ibn Taymiyyah malah memberikan fatwa :

"Wanita dalam keadaan haid harus melakukan segala ibadah Haji mengikut kemampuannya. Apa yang tidak dapat beliau kawal dapat dimaafkan. Atas dasar itu, dia boleh melakukan tawaf (sekalipun berada dalam keadaan haid). Wanita itu haruslah mandi sebagaimana beliau dalam keadaan ihram - keadaan begini malah lebih memerlukan penyucian tersebut - dan beliau harus mengikat dirinya dengan ketat sebagaimana yang berlaku terhadap darah istihadah - keadaan begini malah lebih memerlukan penyucian tersebut"

Dalam hal ini, ulama-ulama Mazhab Hanafi berpendapat bahawa tawaf masih boleh dilakukan, yakni dengan menyucikan dirinya sebelum menutupi kemaluannya dengan rapat agar titisan darah tidak akan terkeluar. Tawaf kemudiannya dapat dilanjutkan dengan saie. Namun, akan dikenakan pembayaran dam. Pendapat tersebut dapat disandarkan dalam kitab al-Mabsuth tulisan Imam Muhammad ibn Ahmad ibn Abi Sahl as-Sarakhsi.

Mazhab Hambali walau bagaimanapun berpendapat bahawa pembayaran dam tidak perlu dilakukan sekiranya jemaah terpaksa atau takut ditinggalkan rombongan. Hal ini dapat disandarkan dalam Kitab al-Mughni fi Fikihi al-Hajj wal Umrah.

Ketiga, sesetengah ulama lain merasakan syarat bagi kesucian dalam tawaf setara dengan syarat menutup aurat dalam solat. Dalam erti kata lain, syarat-syarat tersebut wajib apabila terdapat keupayaan untuk menyempurnakannya, namun dapat digugurkan kewajibannya dalam keadaan darurat. Dalam keadaan ini, Imam Ibn Al-Qayyim mengutarakan :

"Sewaktu hayat kehidupan Rasullulah s.a.w serta Khulafah Rashidin, terdapat rombongan Haji yang tergendala di Mekah dek kaum wanita yang menghadapi haid. Mereka lantaran itu terpaksa menunggu sehingga wanita-wanita tersebut kembali suci dan dapat mengerjakan tawaf. Rasullulah s.a.w kemudiannya bertanya tentang Safiyyah r.a, "Adakah beliau akan mengendalakan kita?. Mereka menjawab, "Beliau telahpun menyempurnakan Tawaf Ifadah (sebelum datangnya haid)".

"Safiyyah r.a pada waktu tersebut berupaya membersihkan dirinya dan menyempurnakan tawaf. Demikian halnya walau bagaimanapun, tidak berkemungkinan bagi rombongan-rombongan hari ini untuk menunggu para jemaah wanita yang berhadapan dengan haid."

Ibn Al-Qayyim berpendapat bahawa para wanita yang berada dalam keadaan haid masih boleh melakukan Tawaf. Menurut pendapatnya, ini tidak membelakangi prinsip-prinsip Syariah memandangkan keperluan menjaga kesucian diri dapat digugurkan memandangkan tidak lagi berkeupayaan untuk menjaganya. Beliau menegaskan bahawa hukum syariah tidak menuntut seseorang untuk menjaga sesuatu di luar keupayaannya dan tidak pula diletakkan sebarang larangan atas desakan tersebut.

Penutup

Gagasan-gagasan pendapat di atas dikeutarakan para ulama terdahulu setelah meneliti permasalahan-permasalahan yang sering berlaku terhadap para jemaah wanita yang ingin menjalani Haji dan Umrah. Demikian halnya, pendapat-pendapat tersebut telah dikeutarakan dengan menggunakan sistem maqasid yang jelas di samping bersandarkan maklumat-maklumat yang tersedia, sama ada bersumberkan Quran, Hadith mahupun pendapat para alim ulama yang lain. Pendapat-pendapat tersebut, khususnya dalam bidang fiqh, tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya. Wallahualam bi shawab.
0 comments
 
Support : Copyright © 2015. Pelita Kalam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger